ismakualaterengganu

NAZIM KL Berjaya Menjadi Kelab Rasmi di Sekolah

Cheras, 25 Februari – “Di SIRAJ, pelajar-pelajar memang menghafal Al-Quran dan hadis. Kehadiran pihak NAZIM KL membantu mengukuhkan lagi k...

Cheras, 25 Februari – “Di SIRAJ, pelajar-pelajar memang menghafal Al-Quran dan hadis. Kehadiran pihak NAZIM KL membantu mengukuhkan lagi kefahaman pelajar berkenaan Al-Quran itu sendiri.” kata Pengetua Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Cawangan Cheras, Ustaz Mohd Aminuddin bin Haji Katan.

Program Smart Aulad Circle yang berlangsung pagi tadi telah disertai seramai 31 orang peserta yang berumur 6 hingga 12 tahun. Objektif program yang bertemakan “Kerana mulut badan binasa” adalah untuk mendidik para peserta mensyukuri nikmat mulut melalui aktiviti Teka Rasa, melatih peserta untuk melazimi zikir dan istighfar dalam kehidupan seharian dan memberi kesedaran bahawa tutur kata boleh membinasakan diri melalui penerangan dan hafazan Surah Al-Humazah.

Salah satu keunikan di SIRAJ ini yang jarang didapati di tempat lain adalah ibu bapa turut sama terlibat dalam pelaksanaan program bukan seperti norma biasa kita lihat yang mana seluruh tanggungjawab berkaitan sekolah digalas oleh pihak sekolah semata-mata.

Puan Norjuliana Mohd Noor, wakil ibu bapa yang banyak membantu NAZIM KL dalam berurusan dengan pihak sekolah dan kendalian program pagi tadi melahirkan rasa gembira dengan penganjuran program ini. Kata beliau, “Program ini bermanfaat untuk anak-anak berjinak-jinak dengan ilmu Al-Quran. Tenaga pengajar pandai bermain dengan emosi anak-anak dan ilmu yang disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami mereka. Ibu bapa yang hadir turut sama teruja apabila anak-anak gembira dan mampu berdikari sepanjang program berlangsung. Program ini memang bagus dan patut diadakan lebih kerap.”

Dengan berakhirnya program ini, secara rasminya NAZIM KL diberi mandat untuk menguruskan Kelab Hafazan di SIRAJ dengan kelulusan pihak sekolah dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Alhamdulillah kami berjaya mendapat tempat di SIRAJ hasil bantuan ibu bapa yang percaya dan meyakini kemampuan NAZIM untuk mendidik anak-anak ini ke arah menjadi seorang muslim yang seimbang. Ini merupakan pengalaman pertama NAZIM KL diberi amanah untuk menguruskan kelab di sekolah secara berkala. Kami akan berusaha dengan lebih gigih untuk menunaikan amanah yang diberi.” Kata Cik Norfaizah binti Mahmud, Pengerusi NAZIM Kuala Lumpur. Ketika ditanya tentang perancangan NAZIM KL ke depan, beliau dengan penuh semangat memberitahu akan memantapkan lagi pelaksanaan program berkala dengan perancangan yang lebih teliti untuk kemenjadian generasi akan datang.

Syazira Hanis Subri
Wartawan ISMA Kuala Lumpur

Sumber

Related

TERKINI 6762565322460834882

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item