OKU berdepan 13 pertuduhan tipu pakej umrah bernilai RM89,000

PEKAN, 11 Jamadilakhir 1439H, Selasa – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas 13 pertuduhan penipuan pakej umrah bernilai RM89,000 sejak dua tahun lepas.

Tuan Mohd Yusri Tuan Long, 38, yang berasal dari Kampung Larut Tin, Taiping di Perak membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Najwa Hashim.

Tertuduh didakwa menawarkan pakej umrah yang tidak wujud sehingga memperdaya lapan mangsa untuk menyerahkan wang secara tunai dan memindahkannya ke dalam akaun Maybank miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Keratong, bandar Muadzam Shah dan bandar Tun Razak dari Disember 2016 hingga Oktober 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh ditangkap pada 14 Februari lepas di Sepang, Selangor.

Timbalan Pendakwa Raya Syamsul Kahar Ahmad Nadri menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 untuk setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu supaya jumlah itu dikurangkan atas alasan dirinya bekerja sendiri dengan pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan.

“Saya juga Orang Kelainan Upaya kerana mempunyai masalah penglihatan,” katanya.

Najwa membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM34,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 15 Mac ini.

Tertuduh tidak membayar jaminan itu. – Bernama

The post OKU berdepan 13 pertuduhan tipu pakej umrah bernilai RM89,000 appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?