Perjuang kedudukan Mahkamah Syariah: Mufti
GEORGETOWN, 15 Jamadilawal 1439H, Khamis – Semua pihak terutama sekali mereka yang terlibat dengan bidang kehakiman dan undang-undang Syariah perlu memperjuangkan kedudukan Mahkamah Syariah.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ia adalah penting supaya sebarang keputusan oleh Mahkamah Syariah tidak boleh dicabar ataupun dibatalkan oleh Mahkamah Sivil.
Keputusan okeh mahkamah juga perlu berdasarkan kepada kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia, katanya.
“Saya menasihatkan semua pihak supaya menghormati keputusan Mahkamah Syariah yang menghendaki persetujuan kedua-dua ibu bapa terlebih dahulu sebelum Sijil Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.
“Dari sudut berkaitan harus ditegaskan bahawa keadilan yang terkandung di dalam ajaran Islam adalah bersifat sejagat merentasi perbezaan kepercayaan agama, etnik dan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes penukaran agama tiga orang anak anak kepada Islam oleh Mohd Ridzuan Abdullah yang terbatal ekoran rayuan sebelah pihak oleh ibunya Indira Ghandi.
Beliau berkata, keadilan Islam adalah untuk semua manusia sama ada Muslim mahupun bukan Muslim.
“Begitu juga mesti difahami bahawa menurut Islam seseorang adalah bebas untuk memilih agama yang ingin dianutinya apabila ia sampai umur akil baligh dengan syarat diberi peluang secukupnya untuk mendengar ajaran kedua-dua agama tanpa dihalang oleh sesiapa atau mana-mana pihak.
“Sebagai orang Islam, kita yakin bahawa Islam akan jadi pilihan kebanyakan manusia sekiranya mereka diberi kebebasan memilih agama yang dikehendaki,” katanya.
The post Perjuang kedudukan Mahkamah Syariah: Mufti appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan