Qari Gombak, Qariah Hulu Langat johan tilawah al-Quran Selangor

CYBERJAYA, 8 Jamadilakhir 1439H, Sabtu – Abdul Khair Jalil dan Nor Ruzana Natiah Jaafar masing-masing dinobatkan sebagai johan qari dan qariah Tilawah al-Quran Peringkat Selangor 2018 di sini, malam tadi.

Abdul Khair yang mewakili daerah Gombak memperoleh markah sebanyak 88.50 peratus manakala Nor Ruzana yang juga johan menunggu dengan mewakili daerah Hulu Langat meraih 92.5 peratus.

Sementara itu, Muhammad Amir Ikmal Khairul Anuar yang mewakili Hulu Selangor menjuarai pertandingan Hafazan Juzuk 1 hingga 30 bagi kategori lelaki manakala Siti Hajar Nabilah Mohd Darha dari Kuala Langat menjuarai kategori wanita.

Abdul Khair, Nor Ruzana Natiah, Muhammad Amir Ikmal dan Siti Hajar Nabilah masing-masing membawa pulang RM5,000, piala iringan, hadiah pakej mengerjakan umrah dan sijil penyertaan.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada johan qari dan hafiz manakala Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan hadiah kepada johan qariah dan hafizah. 

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim turut mengumumkan Luqman Fahim Ismail (Gombak) dan Azzah Abd Rahim (Kuala Langat) masing-masing menjuarai kategori lelaki dan wanita bagi pertandingan Hafazan Juzuk 1 hingga 10.

Mereka memenangi wang tunai RM3,000, piala iringan, pakej umrah dan sijil penyertaan.

Selain itu, Hafiy Muhammad Radhi (Kuala Langat) dan Aisyah Irdina Zulkifli (Petaling) masing-masing menjuarai kategori lelaki dan wanita bagi Hafazan Juzuk 1 hingga 20.

Mereka membawa pulang wang tunai RM4,000, piala iringan, pakej umrah dan sijil penyertaan.

Johan setiap kategori berkenaan akan mewakili Selangor pada pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kompleks Islam Putrajaya dari 1 hingga 7 April depan. — Bernama

 

The post Qari Gombak, Qariah Hulu Langat johan tilawah al-Quran Selangor appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian