Syarikat didenda RM7,000 biar Aedes membiak di premis

KUALA LUMPUR, 29 Jamadilawal 1439H, Khamis – Sebuah syarikat pembinaan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan membiakkan larva nyamuk Aedes, di empat lokasi di dalam premis syarikat itu, November tahun lalu.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Putra Perdana Construction Sdn Bhd (PPCSB) selepas syarikat itu yang diwakili pengurus keselamatan dan kesihatannya selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan bersalah.

Syarikat itu didakwa telah membiakkan serangga pembawa penyakit iaitu larva nyamuk Aedes Aegypti di dalam premis di Jalan Perdana 3/10, Pandan Perdana, di sini antara jam 11.45 pagi dan 11.56 pagi, 23 November 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 13(1) dibaca bersama Seksyen 13(2) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan 2000) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 23(a) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, wakil syarikat itu mengemukakan kepada mahkamah dokumen kerja pembersihan yang telah dijalankan di premis berkenaan sebelum ini dan memaklumkan syarikat itu, yang tidak diwakili peguam, akan terus menjalankan pemantauan terhadap tempat pembiakan nyamuk bagi mengelakkan kesalahan sama berulang.

Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Hulu Langat, Mahfuz Mohamad bagaimanapun memohon hukuman setimpal bagi memastikan syarikat itu lebih serius menangani masalah pembiakan nyamuk yang boleh membawa maut kepada masyarakat seterusnya memberi pengajaran kepada syarikat-syarikat lain untuk tidak melakukan kesalahan sama.

“Syarikat tersebut mempunyai pasukan khas iaitu pasukan keselamatan dan kesihatan, mana mungkin mereka boleh terlepas pandang terhadap tempat pembiakan itu.

Hasil pemeriksaan juga mendapati serangga berkenaan ditemui di tempat terbuka di dalam premis, sepatutnya pasukan itu tidak akan terlepas pandang,” katanya.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota daripada Kementerian Kesihatan Malaysia telah membuat serbuan di premis berkenaan dan hasil pemeriksaan menemui empat tempat pembiakan larva nyamuk di dalam premis. – Bernama

The post Syarikat didenda RM7,000 biar Aedes membiak di premis appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian