Terbukti persempadanan semula berperlembagaan: SPR

PUTRAJAYA, 5 Jamadilakhir 1439H, Rabu – Keputusan Mahkamah Persekutuan pada Isnin lalu berhubung Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya membuktikan bahawa urusan kajian itu memenuhi semua prinsip dan prosedur yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, keputusan itu adalah satu pengiktirafan kehakiman berkaitan pembahagian kuasa antara eksekutif, perundangan dan kehakiman selaras dengan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi amalan di negara ini.

Justeru, SPR berharap agar semua pihak akur dan menghormati keputusan tersebut, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Isnin lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan beberapa pihak untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya yang dijalankan oleh SPR di Perak dan Melaka.

Dalam hal berkaitan, Mohd Hashim berkata, SPR juga mengambil maklum keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak rayuan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkaitan urusan kajian semula persempadanan di negeri berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Hashim berkata, SPR tidak dapat memberikan ulasan lanjut berkaitan keputusan kes itu memandangkan masih terdapat beberapa kes lain yang belum selesai di peringkat mahkamah tertinggi.

Selaras dengan tanggungjawab yang diamanahkan, beliau berkata, SPR akan meneruskan kerja-kerja urusan kajian semula persempadanan sehingga laporan akhir diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Tanggungjawab SPR dalam urusan berkenaan akan selesai setelah laporan akhir diserahkan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Katanya, urusan pembentangan laporan itu di Dewan Rakyat adalah bergantung kepada budi Perdana Menteri memandangkan ia bukan lagi di bawah bidang kuasa SPR. – Bernama

The post Terbukti persempadanan semula berperlembagaan: SPR appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian