Tip gajet: Kawal, pantau mekanisme terbaik untuk anak

 

 

PERBINCANGAN masih hangat di antara sebahagian ibudbapa mengenai kewajaran gajet diberikan kepada anak-anak.

Orang bertanya adakah anak-anak saya dedahkan dengan telefon pintar mahupun tablet (tab).

Saya jawab ya dan saya tanya kenapa saya perlu halang sedangkan ini zaman mereka.

Saya ditanya lagi mereka ketagih gajet atau tidak. Saya jawab tidak. Saya ditanya kenapa. Sebab saya kawal.

Kenapa perlu beri gajet, dan bersusah-susah kawal pula.

Jawapan saya kerana mereka masih diperingkat umur sebelum mumayyiz dan selepas umur mumayyiz.

Peringkat sebelum mumayyiz bermula dari saat kelahiran seseorang kanak-kanak sehinggalah usianya mencapai tujuh tahun. Sepanjang tempoh ini, kanak-kanak belum mampu membezakan antara yang baik dengan yang buruk serta tidak dapat memahami kesan atau akibat bagi sesuatu perbuatan dan belum mempunyai keupayaan untuk memahami (idrak).

Peringkat mumayyiz bermula apabila kanak-kanak telah cukup umur tujuh atau lapan tahun. Penetapan umur tujuh tahun sebagai umur mumayyiz adalah berdasarkan Hadith yang diriwayatkan oleh Abdul Malik bin Rabic bin Sabrah dan ayahnya daripada datuknya yang bermaksud:

مُرُوْا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاْءُ سَبْعِ سِنِيْنَ، وَاضْرِبُوْهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاْءُ عَشْرِ سِنِيْنَ

“Ajarlah (atau suruhlah) kanak-kanak bersembahyang ketika berumur tujuh tahun dan pukullah dia ketika berumur sepuluh tahun”.

Pemahaman daripada Hadith di atas adalah suruhan Rasulullah (s.a.w) kepada ibu bapa supaya mengajar solat kepada kanak-kanak apabila usia mereka mencapai tujuh tahun. Pengajaran tentang mendirikan solat tidak dapat dilakukan melainkan seseorang itu mempunyai kemampuan berfikir. Secara tidak langsung, Hadith ini menerangkan kemampuan berfikir akan wujud apabila seseorang kanak-kanak berusia tujuh tahun. Kanak-kanak yang sudah mencapai tahap pemikiran tamyiz disebut sebagai kanak-kanak mumayyiz.

Bagaimana mekanisma kawalan dan pantauan yang sesuai untuk anak-anak. Agar mereka membesar sesuai dengan zamannya, tanpa terjebak dengan ketagihan gajet.

1. Beri had masa dan giliran.
Latih anak dengan had masa menggunakan gajet. Hadkan kepada 30 minit hingga 40 minit sehari atau setiap sesi. Latih juga mereka konsep berkongsi (sharing). Cobtohnya beri masa sejam dan ingatkan agar bergilir sesama mereka menggunakan gajet dalam tempoh masa itu.

2. Jangan ‘charge 100% full battery’.
‘Charge’ terhad kepada 20% hingga 30%. Secara psikologinya anak-anak akan sedar had menggunakan gajet. Bateri akan bertahan 30 minit atau lebih sahaja. Habis tempoh dibenarkan atau habis bateri, maka tamatlah penggunaan. Ibubapa tidak akan kehilangan mekanisma kawalan atau ‘grip’ terhadap penggunaan gajet anak-anak dengan cara ini.

3. Jangan beri ‘unlock code’ atau ‘password’.
‘Unlock code’ atau ‘password’ adalah kuasa. Kuasa menghidupkan, menggunakan dan mematikan gajet. Kuasa ini hanya boleh ada ditangan ibubapa dan hanya ibubapa yang boleh menggunakannya. Ia ibarat kunci kepada sebuah kereta. Ia akan memberi kuasa kepada pemandunya. Tanpa panduan oleh pemilik kereta, pemandu tadi akan bebas melalu jalan ke destinasi yang disukainya. Jadi tiap kali anak-anak mahu menggunakan gajet, ibubapa perlu ‘aware’ dan ‘awake’.

4. Gajet bukan milik anak tapi milik ibubapa.
Ingatkan anak-anak bahawa gajet bukan kepunyaan mereka, tetapi hak milik ibubapa. Anak-anak hanya meminjam dan perlu memulangkan apabila sampai masanya atau apabila ibubapa mahukannya. Ini satu teknik kawalan yang berkesan tanpa menggunakan pendekatan fizikal dan kekerasan.

5. Beri ganjaran diatas pencapaian.
Selalu beri ganjaran (menggunakan gajet) selepas anak-anak berjaya melakukan tugasan tertentu atau melaksanakan amanah yang diberikan. Dengan cara mengizinkan menggunakan gajet hanya selepas mengemaskan bilik atau menyiapkan kerja sekolah. Ini juga merupakan satu bentuk motivasi kepada mereka.

6. Kawal dengan cara alih perhatian.
Jika terdapat tanda-tanda memberontak atau berkeras inginkan bermain gajet diluar waktu dibenarkan, cuba kaedah dengan mengalih perhatian anak-anak. Ajak atau cadangkan mereka melakukan aktiviti lain seperti ke taman permainan, melawat perpustakaan, bersukan, hobi dan sebagainya. Meluangkan masa bersama mereka adalah cara terbaik mengalihkan perhatian mereka terhadap gajet.

7. Jadikan gajet medium interaksi anak-ibubapa.
Pernahkan anda eksplorasi Youtube bersama anak-anak. Bukalah beberapa ‘channel’ yang bermanfaat bersama anak-anak di sisi anda. Anak-anak kecil gembira bernyanyi nasyid dan lagu iqra, apatah lagi jika ibubapa bernyanyi bersama. Anak-anak mumayyiz suka teroka dunia haiwan atau belajar sesuatu yang baru melalui video kemahiran ‘diy’. Anak lelaki suka belajar robotik dan tips reka cipta. Anak perempuan suka mengubah bunga atau belajar melukis bunga. Gunakan fungsi ‘search’, masukkan ‘keyword’ seperti ‘how to make cupcakes’ atau ‘how to kick ball correctly’.

Akhir kata peranan ibubapa amat penting dalam mengawal dan memantau aktiviti anak-anak bersama gajet. Harus diingat ibubapa adalah suri teladan bagi diri anak-anak.

Apa yang kita buat bersama gajet, itulah juga yang anak-anak lihat dan contohi. Jadilah qudwah kepada mereka dengan menggunakan dan memanfaatkan gajet sebaiknya di zaman penuh cabaran yang mereka sedang dan akan hadapi ini.

Yudi Kurniawan Budi
B.Sc. Comp.Sc. (UPM)
M.Sc. Info.Tech. (UITM)
IT Operation Specialist (T-Systems Cyberjaya)
Penulis Techsamana dan AnakMuda.my

The post Tip gajet: Kawal, pantau mekanisme terbaik untuk anak appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian