UiTM buka kemasukan kepada lepasan sekolah tahfiz

SHAH ALAM, 27 Jamadilawal 1439H, Selasa – Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberi laluan kemasukan kepada pelajar lepasan sekolah tahfiz yang berdaftar di seluruh negara bagi menyambung pengajian di universiti itu, kata Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Laluan kemasukan untuk pelajar lepasan sekolah Tahfiz ini akan dilaksanakan melalui beberapa kaedah, iaitu penawaran kepada pelajar tahfiz lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan SPM cemerlang untuk mengikuti program Asasi di UiTM, katanya.

Beliau berkata, laluan kemasukan juga akan dilaksanakan melalui penawaran kepada pelajar tahfiz lepasan SPM yang memenuhi syarat keperluan program untuk mengikuti program pengajian Diploma dalam bidang yang bersesuaian dengan kelayakan pelajar.

“Penawaran turut terbuka kepada pelajar tahfiz berkelulusan diploma aliran agama untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda di Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM seperti Sarjana Muda Muamalat, Sarjana Muda Pengurusan Halal, Sarjana Muda Bahasa Arab, dan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Perbankan Islam).

“Bagi pelajar tahfiz dengan keputusan SPM yang tidak memenuhi syarat kelayakan program Diploma di UiTM, mereka boleh memohon program Pradiploma (Sains) atau Pradiploma (Perdagangan) sebelum mengikuti pengajian di peringkat diploma,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hassan berkata, laluan kemasukan baharu ini akan dijayakan menerusi kerjasama UiTM dengan Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Maahad Tahfiz kerajaan negeri dan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA).

Sehingga kini, terdapat 20 buah sekolah tahfiz milik kerajaan negeri (4,643 murid) dan 618 buah sekolah tahfiz swasta (37,902 murid) yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri.

“Keupayaan para pelajar ini dalam penghafalan membuktikan bahawa mereka mempunyai tahap kecerdikan dan kepintaran yang tinggi.

“Keupayaan ini sekiranya diteruskan dalam pengajian bidang profesional di peringkat universiti bakal melahirkan pelajar yang mempunyai kekuatan jati diri agama, di samping kepakaran dalam bidang-bidang profesional yang diceburi,” katanya. – Bernama

The post UiTM buka kemasukan kepada lepasan sekolah tahfiz appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian