“WAHAI DAIE, JANGAN BIARKAN KAMI KEMBALI KEPADA JAHILIYAH!”

Ruang kamar mahkamah dipenuhi manusia. Hari yang ditunggu untuk kesekian lamanya telah tiba. Hari yang menentukan adakah benteng terakhir undang-undang kehakiman syariah Sarawak masih berkuasa ataupun telah hilang bisanya.

27 Februari 2018, hari pengumuman keputusan kes rayuan penukaran agama atau murtad dari agama Islam bagi empat orang perayu. Mereka adalah:

  1. Syarifah Nooraffyza Wan Hosen – seorang Muslimah berbangsa Melayu yang meninggalkan agama Islam secara sukarela dan memeluk agama kristian – agama teman lelakinya.
  2. Mohd Syafiq b Abdullah atau Tiong Choo Ting – berbangsa campuran Cina-Bidayuh beragama kristian sebelumnya. Memeluk agama kristian atas urusan perkahwinannya. Merayu keluar Islam kerana isterinya telah meninggal dunia pada 2007.
  3. Salina Jau bt Abdullah – berbangsa Kayan/Kenyah beragama kristian yang memeluk agama Islam atas urusan perkahwinannya. Merayu keluar Islam kerana telah bercerai dengan pasangan muslimnya pada 2010.
  4. Nur Muzdhalifah bt Abdullah atau Jenny Peter – berbangsa Melanau beragama kristian dan memeluk Islam atas urusan perkahwinannya. Merayu keluar Islam kerana telah bercerai dengan pasangan muslimnya pada 2006.

Kita harus menginsafi dengan sebenar-benarnya bahawa tanggungjawab dan hak mualaf masih lagi belum tertunai dengan sempurna. Walaupun hari ini lima Hakim Mahkamah Persekutuan Sarawak sebulat suara (unanimously) menolak rayuan empat individu (termasuk seorang wanita Melayu Islam) untuk keluar dari agama Islam, kita harus sedar hakikatnya di sebalik rayuan mereka, di luar sana terdapat ramai lagi mualaf yang perlukan bimbingan, adanya kes Melayu Islam yang ingin murtad dan adanya lompong-lompong dari segi undang-undang yang perlu diperincikan semula.

“Di Sarawak, walaupun mahkamah syariah negeri tidak memiliki kuasa berhubung kes menukar agama (Islam), namun panel hakim memutuskan ada bidang kuasa tertentu mengikut Ordinan MAIS untuk mengendalikan kes sebegini. Maka, ia memberi kuasa kepada mahkamah syariah negeri untuk mendengar permohonan rayuan berkenaan”

Apabila diselidiki kes rayuan tersebut, kita mendapati bahawa punca kepada permohonan keluar dari agama Islam adalah kecetekan ilmu untuk memahami agama Islam oleh mualaf. Mereka mungkin menganggap agama Islam mempunyai “return ticket” setelah mereka kehilangan punca dan asbab mereka memeluk Islam suatu ketika dahulu. Tidak dapat dinafikan juga terdapat pihak-pihak yang mendorong dan menyokong permohonan mereka agar mereka berani dan lantang menyuarakan hak serta kebebasan beragama yang disalahtafsirkan. Mungkin juga ini hanyalah medan tempur untuk mencabar kekuatan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan solidariti umat Islam. Allah lebih mengetahuinya.

Mahu tidak mahu, kita harus menerima hakikat yang pahit bahawa kita belum lagi membimbing saudara baru kita dengan sebaiknya.

Kes rayuan ini hanyalah beberapa contoh yang terzahir disebalik realiti sebenar keadaan mualaf. Menurut sumber terpercaya, masih terdapat ramai lagi mualaf yang terbiar tanpa bimbingan yang berterusan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak. Bahkan sehingga suatu tahap mereka berani mengakui tidak lagi mengamalkan cara hidup Islam, cumanya mereka tidak mengisytiharkan murtad dan membuat permohonan untuk menukar agama kepada Jabatan Agama Islam Sarawak atau pun Jabatan Pendaftaran Negara.

Peristiwa pada hari ini seharusnya menyentap jiwa daie yang memperjuangkan agama Allah ini. Di sebalik kesyukuran kita meraikan kekuasaan benteng perundangan ini, kita harus melihat semula kekurangan yang perlu ditampung segera agar peristiwa ini tidak berulang. Sama ada berlakunya percubaan untuk dibawa ke muka pengadilan, ataupun kes terpencil peringkat individu yang bergelap dalam jahiliyah semula secara sendiri-sendiri.

Beberapa langkah untuk memperkasa mualaf agar mereka tidak sewenang-wenangnya mahu keluar dari agama Islam yang kita boleh lakukan sebagai daie adalah;

  1. Pemerkasaan kefahaman mualaf melalui kelas bimbingan

Daripada data yang diperoleh dari Majlis Islam Sarawak, di bahagian Samarahan sahaja, seramai 1600 lebih mualaf baru dicatatkan sepanjang 2015-2017. Namun yang betul-betul mendapat bimbingan dan mengikuti kelas bimbingan sangat sedikit. Baitul Ilmi, antara pihak yang prihatin dan mengadakan kelas mualaf di Samarahan mencatatkan secara purata hanya 20-25 orang mualaf yang datang secara konsisten untuk mendapat bimbingan agama. Perkara ini lebih merunsingkan di bandar-bandar besar seperti Kuching yang mempunyai lebih 10 ribu saudara kita namun menurut pihak Urusetia Saudara Kita hanya sekitar 30 orang yang konsisten menghadiri kelas mereka. Kita berharap mualaf selebihnya mendapat bimbingan yang cukup dari pasangan masing-masing, kelas-kelas agama di masjid dan bimbingan persendirian di luar sana.

Kelas mualaf perlu diwujudkan dengan lebih banyak untuk membantu para mualaf memahami agama Islam dengan lebih baik. Daie mungkin boleh mengubah pendekatan daripada kelas-kelas bersifat formal kepada kelompok usrah kecil yang lebih santai namun mempunyai pengisian. Kadang-kadang disebabkan cara pembawaan yang kurang menarik menyebabkan mualaf enggan terus belajar daripada kita.

  1. Sokongan moral dalam pengurusan tekanan keluarga

Mualaf yang masih baru dan merahsiakan pengislamannya daripada keluarga perlu dikenalpasti dengan segera dan diberi sokongan yang padu. Di universiti contohnya, kebanyakkannya mualaf memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga dan takut untuk mengisytiharkan pengislamannya, walaupun dari segi undang-undang, mereka berhak membuat keputusan tanpa keizinan daripada ibu bapanya. Namun disebabkan dalam sesetengah perkara seperti kos sara hidup masih bergantung kepada ibu bapa, mualaf muda akan berhadapan dengan tekanan yang mengganggu kehidupannya. Di sinilah peranan jabatan agama, NGO, daie-daie lapangan dan parti-parti politik diperlukan. Mereka bukan sahaja memerlukan bimbingan dari segi pengetahuan dan wang ringgit tetapi juga dari segi emosi dan bagaimana untuk mengurus tekanan daripada keluarga.

  1. Keprihatinan badan berwajib untuk memudahkan pengurusan hal ehwal kebajikan mualaf

Badan berwajib seperti Baitulmal dan Jabatan Agama Islam perlu lebih tangkas dan cekap dalam memudahkan urusan permohonan bantuan bagi saudara baru yang memerlukan. Kita perlu sedar bahawa di pihak sebelah sana, mereka juga mempunyai ‘pasukan penyelamat’ bagi memujuk semula mualaf untuk kembali kepada agama asal. Mereka juga menawarkan bantuan-bantuan bukan sahaja kepada penganut agama mereka, tetapi umat Islam kita sendiri. Jangan biarkan sehingga menjadi satu fenomena orang Islam sendiri merasakan badan agama lain lebih baik, prihatin dan mudah menawarkan bantuan kepada mereka. Daie tidak harus merasakan ini adalah momokan dramatik semata-mata kerana gerakan tersembunyi ini jelas diceritakan kebanyakan mualaf yang berkongsi pengalaman mereka.

Tuding-menuding tidaklah dapat menyelesaikan masalah ini, tetapi semangat proaktif bersumbukan kefahaman yang jelas terhadap realiti umat di Sarawak ini seharusnya menjadikan daie-daie di lapangan meluncur lebih laju untuk menyantuni dan menjadi titik hidayah kepada mualaf agar mereka dapat menjalankan kehidupan dengan lebih sempurna. Daie-daie di lapanganlah yang menjadi barisan hadapan bersemuka dan menjiwai hakikat mualaf di luar sana.

 

Mohammed Rasheedan bin Ellin

Ketua Operasi Ruai Ikhlas Sarawak,

Pusat Kecemerlangan Islam dan Dakwah (PEACE)

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian