Wujudkan tadbir urus bagi harta waqaf: Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR, 6 Jamadilakhir 1439H, Khamis – Institusi waqaf perlu mewujudkan rangka kerja tadbir urus bagi mengukuhkan amalan tadbir urus dalam infrastruktur waqaf serta menyusun starategi lebih meluas untuk memperkasa penggunaan harta waqaf sebagai platform kewangan sosial Islam.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, rangka kerja itu mungkin boleh meliputi spesifikasi jelas tentang peranan serta tanggungjawab pemegang amanah dan pihak berkuasa harta waqaf dalam melaksanakan tugas masing-masing secara luhur demi kepentingan dan manfaat para penderma serta waris.

Baginda bertitah, langkah itu penting kerana halangan paling besar terhadap pembangunan sistem waqaf dipercayai berpunca daripada kelemahan dalam pengurusan institusi akibat peraturan dan mekanisme pengawasan yang terhad sifatnya.

“Beta percaya, tadbir urus dalaman pihak berkuasa waqaf tidak boleh diabaikan sama sekali dan perlu ada kawalan dalaman secukupnya termasuk protokol pengurusan risiko serta audit secara tetap,” tegas baginda ketika menyampaikan titah diraja bertajuk ‘Waqaf: Meraih Kepercayaan Bagi Kelestarian Ekonomi Sosial’ pada Forum Pendidikan Tinggi 2018: Pembangunan Semula Waqaf di sini, hari ini.

Forum dua hari itu, yang bermula hari ini, antara lain membincangkan tentang penggunaan waqaf untuk membiayai pendidikan tinggi dan pembangunan sosial.

Sultan Nazrin bertitah, untuk mewujudkan tadbir urus berkesan, semua badan pentadbir waqaf perlu memiliki pengalaman dan kepakaran dalam melaksanakan peranan pengurusan aset termasuk memastikan pihak berkuasa waqaf mempunyai kefahaman tentang prinsip dan undang-undang Islam berkaitan pengurusan waqaf.

Oleh itu, titah baginda, para pegawai pihak berkuasa waqaf dan pemegang amanahnya perlu mengikuti latihan dari semasa ke semasa dalam bidang berkenaan agar mereka sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan terkini dalam bidang berkaitan, termasuk industri kewangan Islam.

“Melaksanakan dan mematuhi rangka kerja tadbir urus yang teguh berkaitan harta waqaf mungkin kelihatan suatu tugas yang menggerunkan serta amat berat namun, ia merupakan kewajipan sekiranya pihak berkuasa waqaf ingin memperoleh keyakinan dan kepercayaan pemegang amanah sekali gus menjamin kelestarian harta waqaf sebagai kompoonen penting kewangan sosial Islam dan ekonomi sosial secara menyeluruh,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, di samping perlunya memperkasakan lagi tadbir urus harta waqaf, mekanisme lain perlu diwujudkan bagi membantu meletakkan kembali harta waqaf pada kedudukan pentingnya sebelum ini, sebagai contoh, bagi menyahut seruan yang dibuat baru-baru ini agar aset waqaf terbiar dan tidak digerakkan dapat dipulihkan melalui kontrak kewangan Islam bersifat inovatif dan terbaharu.

“Kontrak ini seperti Musharakah Mutanaqisah dan aturan Bina-Pajak-Pindah, boleh berjaya, bukan sahaja dengan menukar pegangan waqaf terbiar dan tidak produktif menjadi bangunan moden, tetapi juga dalam memberi peluang pekerjaan untuk ramai orang melalui projek bangunan dan pembinaan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, penciptaan aset waqaf boleh alih, termasuk model waqaf tunai seperti saham waqaf, waqaf mudah alih dan waqaf korporat merupakan satu lagi perkembangan terkini yang menggalakkan.

Antara manfaat lain adalah model waqaf tunai itu membolehkan penubuhan klinik dan pusat dialisis bagi menambah baik penjagaan kesihatan, manakala penyediaan ‘qard al-hasan’, pinjaman tanpa faedah yang diberi pemberi pinjaman kepada peminjam atas dasar ihsan, membolehkan pihak kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan, memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Sudah tentu, kita juga perlu mencari jalan bagaimana sistem waqf ini dapat berfungsi secara seiring dan menjadi pelengkap kepada instrumen kewangan Islam lain.

“Sebagai contoh, institusi kewangan Islam yang berpotensi mendapat sokongan kerajaan, boleh bergerak dengan lebih aktif serta kreatif dalam memajukan aset waqaf melalui penerbitan sukuk bagi meningkatkan penyertaan orang ramai,” jelas baginda.

Sultan Nazrin bertitah, di Malaysia, sebahagian besar harta waqaf mempunyai hubungan dengan institusi agama seperti masjid, madrasah dan tanah perkuburan.

“Teramat sedikit tanah sebegini menjana pendapatan bagi pihak bekuasa tunggal waqaf, mutawallis, iaitu Majlis Agama Islam Negeri di Malaysia ini. Harta dan tanah ini kurang dimajukan dan ia sebahagian besarnya berpunca daripada kedudukannya memandangkan kebanyakan tanah di luar bandar terletak secara berselerak di kawasan yang luas dan oleh itu, potensinya untuk dimajukan adalah amat sedikit,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, statistik semasa menunjukkan bahawa daripada hampir 13,5000 hektar tanah waqaf yang terdapat di Malaysia, hanya dua peratus telah dibangunkan semula.

Menurut baginda, selain cabaran yang dihadapi berikutan kedudukan tanah waqaf, Majlis Agama Islam Negeri juga menghadapi masalah berkaitan pendaftaran hak milik tanah berkenaan.

“Dalam kes di mana sesuatu tanah diwariskan beberapa generasi lampau, hak milik tanah waqaf berkenaan tidak dapat dikenal pasti. Tanpa adanya hak milik ini, adalah terlalu mustahil bagi majlis itu untuk memajukannya,” jelas baginda.

Baginda bertitah, adalah begitu ketara sekali, harta waqaf tidak digunakan sepenuhnya sebagai suatu instrumen berdaya maju bagi kelestarian ekonomi sosial disebabkan kurangnya kefahaman tentang struktur operasinya serta cara yang boleh digunakan dan yang dibenarkan untuk menyalurkan manfaatnya.

Sultan Nazrin bertitah, kebanyakan pemegang kepentingan serta orang ramai, masih tidak sedar tentang pelbagai cara yang wujud untuk memanfaatkan sistem waqaf bagi menjana hasil untuk diagihkan kepada pewarisnya.

“Bagaimanapun, barang kali, halangan paling besar untuk memajukan sistem waqaf ini ialah kelemahan dalam pengurusan institusi waqaf akibat kurangnya peraturan dan mekanisme penyeliaan,” titah baginda.—  Bernama

The post Wujudkan tadbir urus bagi harta waqaf: Sultan Nazrin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian