YB pun dah mula pikul jenazah

KATA Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid, kementeriannya memperuntukkan RM350 juta bagi Projek Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah Menggunakan Peruntukan Tabung Khas, iaitu sebahagian daripada RM500 juta yang diluluskan dalam Bajet 2018.

Katanya lagi, 7,983 projek dikenal pasti di seluruh negara membabitkan kerja pembaikan dan penyelenggaraan bumbung, saluran air hujan, sistem kumbahan, tandas, sistem perpaipan dalam dan luar bangunan, sistem bekalan air dan pendawaian elektrik.

Projek itu katanya memberi manfaat kepada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Kolej Vokasional/Sekolah Menengah Teknik.

Itu kata menteri. Pedang kata pula, sekarang ini memang kerajaan berusaha untuk mencurahkan jutaan ringgit peruntukan bagi melaksanakan pelbagai projek. Sebelum musim pilihan raya dipanggil kerajaan saja, tapi bila hampir pilihan raya mulalah disebut Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sedangkan masalah bumbung sekolah bocor, kerusi meja patah, motosikal polis tersadai di depot kerana rosak dan tiada peruntukan membaikinya, sudah lama berlaku dan Kerajaan BN tak pedulikan. Jangan kata masalah bumbung bocor ini isu terpencil. Masalahnya Kerajaan BN sekarang tiada wang untuk menyelenggara.

Memang benar, cabutan undi tender bagi kerja membaik pulih dan menyelenggara sekolah sedang dibuat. Tapi bila pula surat tauliah akan dikeluarkan dan bila pula projek itu akan mula dilaksanakan? Sekarang ini sekadar cakap saja tak boleh pakai, kerana mungkin lepas menang nanti, projek lambat jalan dengan macam-macam alasan.

Pedang sudah lama tahu isu sekolah tiada peruntukan untuk membaiki kerosakan. Hinggakan, Kerajaan BN terpaksa tanya pakar universiti, mufti dan ulama, hanya untuk menyelesaikan masalah bumbung sekolah bocor dan Kerajaan BN tiada wang untuk membaikinya.

Lalu, sudut pandangan Islam diambil dan keputusan pun dibuat. Laksanakan sistem wakaf di sekolah, seperti wakaf dibuat di universiti.

Maka, beberapa sekolah di daerah Kubang Pasu dilaporkan menjadi perintis kepada projek Wakaf Sekolah, bertujuan mendapatkan bantuan orang ramai, khususnya umat Islam, untuk membaiki kerosakan, termasuk bumbung bocor dan kerusi meja yang patah, yang mana Kerajaan BN tiada wang untuk membaikinya.

Sudahlah rakyat juga yang tanggung gaji kakitangan dan pembangunan lain menerusi GST, sekarang ini diajak pula rakyat membantu membaiki sekolah atas nama WAKAF.

Masalah Kerajaan BN tiada wang untuk diberikan kepada agensinya berlaku sejak setahun dua ini. Bukan sekolah saja hadapi kekurangan peruntukan, institusi pengajian tinggi terpaksa menamatkan kontrak pensyarah berkaliber, kerana kurang peruntukan.

Dan, rakyat sedia maklum kenapa sekarang nampak bersungguh-sungguh Kerajaan BN hendak mengatasi masalah, hingga bumbung sekolah berlubang pun mula diberi perhatian. Tak lama lagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Sebab itu kelam kabut masuk keluar kampung, pekan dan bandar.

Macam syair dihantar kepada Pedang:

“Dah ada tandanya, YB di kota dah pulang ke desa, YB menghilang sudah dijumpa, Sudah hadir kenduri kendara, Sudah ziarah sanak saudara. Dah simpan kereta lawa, Hanya naik kancil atau motor sahaja, Ada berbasikal di jalan raya, Singgah kedai kopi bertegur sapa.”

“Senyum pula penuh mesra, Siapa saja ditegur seolah kenalan lama, Satu kedai kopi pasti dia belanja, Boleh lah minum makan apa saja. Solat jenazah pastinya dia dah ada, Siap dipikul lagi dibahunya, Kebumikan pula bersama-sama, Padahal sebelum ini tak nampak muka.”

“Rakyat mengadu disambut mesra, Datin juga dah bertudung pula, Hadir ke masjid ceramah agama, Kononnya dia sudah bertakwa. Inilah drama pilihan raya, Berulangkali setiap masa, Rakyat pula mudah lupa, Diberi kain, kopi dan gula, Hiduplah mereka seperti biasa, Dalam susah dan sengsara. Sementara pemimpin mewah berharta.”

Kata Pedang: Sudah dua minggu berturut-turut harga minyak petrol dan diesel turun. Pedang ‘mimpi’ rasa-rasanya mulai 12.01 pagi Khamis ini harga naik balik. RON 95 mungkin naik 2 ke 3 sen; RON 97 (mungkin naik 3 ke 4 sen) dan Diesel pula mungkin naik antara 5 hingga 6 sen seliter.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana. Sebarang ulasan dan pertanyaan sila e-mel katapedang@gmail.com

The post YB pun dah mula pikul jenazah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?