ismakualaterengganu

Al-Haya’ Yang Telah Hilang

“Semoga Allah sentiasa merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama. Setelah Allah menurunkan ayat ‘…Dan hendaklah mereka (perempuan) mel...

“Semoga Allah sentiasa merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama. Setelah Allah menurunkan ayat ‘…Dan hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka …’ [An-Nur: 31], maka mereka merobek pakaian mereka, kemudian menjadikannya sebagai kain yang menutupi tubuh mereka.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)

Merenungi riwayat daripada saidatina Aisyah R.A ini, bukan sekadar mengingatkan saya kepada kewajipan menutup aurat, malah ia mendatangkan rasa takjub terhadap betapa para muslimah generasi awal Islam memahami perintah ini sebagai interpretasi terhadap keimanan mereka terhadap Allah. Tiada masa untuk mereka berlengah, tiada masa untuk mereka beralasan, cukup dengan perintah ringkas, mereka mencapai apa jua pakaian bagi menuruti perintah Yang Maha Agung. Malah ada riwayat yang mengatakan mereka menarik selimut dan langsir mereka bagi menyegerakan menyahut perintah-Nya.

Menutup aurat adalah lambang kasih dan cinta mereka kepada Allah yang memuliakan wanita yang suatu ketika dahulu dipandang remeh dan hina. Gelojohnya mereka dalam menutup aurat adalah refleksi terhadap rasa malu mereka untuk melanggar perintah-Nya. Ya, rasa malu ataupun al-haya’ adalah suatu akhlak yang mendorong seseorang melaksanakan perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya.

Al-haya’ yang berasal dari perkataan bahasa arab al-hayah yang membawa maksud kehidupan merujuk kepada satu kekuatan perasaan yang hidup di dalam jiwa manusia yang mendorongnya si pemiliknya berasa malu untuk terjebak ke lubang kehinaan. Oleh itu, dengan adanya malu, pemiliknya akan meninggalkan segala perbuatan buruk dan tercela sehingga mampu menghalanginya daripada melakukan dosa dan maksiat.

Berbeza dengan hari ini, seiring dengan peredaran zaman jahiliyyah yang kian berkembang. Wanita mungkin tidak ditelanjangkan pakaiannya, dilucutkan tudungnya, kerana ia seakan telah menjadi suatu trend pemakaian yang diterima khususnya di negara yang majoritinya orang Islam. Namun begitu tanpa disedari, sedikit demi sedikit para wanita dilucutkan rasa malunya, ditelanjangkan prinsipnya sebagai seorang muslimah. Hasilnya, tudung litupnya, pakaian menutup auratnya, tidak lagi menghalangnya dari melakukan perkara maksiat, tidak lagi melambangkan kecintaannya yang mendalam pada Allah, sebaliknya hanya secebis kain yang menjadi perhiasan malah kadang kala bermegah dengannya. Pakaian bukan lagi simbol ketaatan kepada Tuhan malah diletakkan yang ditempat yang tidak selayaknya, sebagai pelaris jualan, malah umpama aksesori dalam melakukan maksiat kepada Allah.

Penghakisan sifat malu di kalangan para wanita khususnya wanita yang bertudung hari ini berlaku secara berleluasa terutamanya melalui medium media sosial. Lihat sahaja betapa ramai wanita yang menceritakan segala kisah berunsur peribadi di alam maya, mendedahkan segala cerita yang selayaknya tinggal di dalam bilik tidur sahaja. Bagi tujuan mempromosi barangan pula, semakin ramai wanita bertudung berhias dan mempertontonkan kecantikan mereka di khalayak ramai. Berhias yang dahulunya hanya dilakukan secara peribadi di rumah dan untuk tatapan suami kini dipertontonkan secara meluas kepada orang-orang yang tidak dikenali.

Malah lebih menyedihkan semakin ramai juga wanita yang sanggup merendahkan maruah mereka dengan melakukan perbuatan yang mengundang gelak tawa dan cercaan, hanya untuk publisiti murahan dan liputan meluas.

Suatu situasi yang mustahil akan dilakukan oleh para muslimah terdahulu yang cukup tebal perasaan malunya. Pernahkah anda mendengar cerita tentang dua anak perempuan Nabi Shuaib A.S yang menyampaikan berita kepada Nabi Musa A.S dengan penuh tertib dan malu? Kisah ini dilakarkan di dalam Al-Qur’an dengan gambaran sifat malu mereka:

فَجَآءَتۡهُ إِحۡدَٮٰهُمَا تَمۡشِى عَلَى ٱسۡتِحۡيَآءٍ۬ قَالَتۡ إِنَّ أَبِى يَدۡعُوكَ لِيَجۡزِيَكَ أَجۡرَ مَا سَقَيۡتَ لَنَا‌

“Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata: Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”. [Al-Qasas: 25]

Wahai para muslimah yang dimuliakan Allah dengan iman! Ingatlah sabda Rasulullah SAW: “Malu dan iman itu adalah teman seiring sejalan, jika yang satu diangkat nescaya terangkatlah pula yang satu lagi.” (Hadis Riwayat Muslim)

Penghakisan malu merupakan indikasi kepada penghakisan iman di kalangan muslimah hari ini, begitu juga sebaliknya. Oleh itu, janganlah engkau tanggalkan sifat malu yang dahulunya menghiasi dirimu. Peliharalah ia sebaiknya kerana itu bukti imanmu dan cintamu kepada Penciptamu.

Contohilah wanita muhajirin yang bingkas melaksanakan perintah Allah dengan penuh keimanan dan rasa malu. Berhentilah dari memberi sokongan, menyebarkan malah mempromosikan perbuatan merendahkan harga diri wanita. Didiklah anak-anak perempuanmu dengan akhlak malu yang memelihara diri mereka dari segala bahaya fitnah dunia. Akhirnya jadikanlah dirimu sebagai contoh hidup sebaik-baik perhiasan dunia bukan punca tohmahan manusia jahil terhadap kesucian wanita muslimah.

Ustazah Kauthar Jamalludin

Aktivis Isma Hulu Langat

Sumber

Related

TERKINI 1906748271452413406

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item