Antara Hijab untuk Allah dan Hijab untuk Dunia
Jam menunjukkan 1.40 tengahari. Jari jemari laju bermain di skrin telefon mengalih tulisan demi tulisan di dinding media sosial. Terpampang berita seorang artis wanita menyambut hari kelahirannya dan pelancaran produk tudung yang terbaru.
Video pelancaran dan gambar-gambar di Instagram dan Facebook menunjukkan sebuah acara penuh suka ria, diadakan di Zouk, sebuah kelab malam yang hebat dengan acara hiburan dan maksiat di ibu kota. Penulis mengeluh melihat fenomena ‘hijabista’ yang tidak pernah sunyi dewasa ini.
Penulis merasakan ia adalah sebuah kesalahan. Mengapa ianya adalah sebuah kesalahan?
Kesalahan pertama
Kita kerap melihat fesyen demi fesyen, tudung demi tudung dijual oleh selebriti dan ikon yang terkenal, kesemuanya mempromosikan fesyen, mempromosikan kecantikan seorang wanita, dan ironinya ia mendapat sambutan golongan muda. Malangnya fesyen yang dipromosikan lebih daripada tujuan hijab sebagai alat untuk memelihara aurat. “Just hook, and swirl”, “The Broochless Scarf”, sinonim dengan fesyen yang dipamerkan zaman ini.
Hijab yang tidak menepati syariat kerap mendapat sambutan, dan penjual tidak ubah seperti sang kapitalis yang mempromosikan fesyen tidak patuh syariat. Hijab yang tidak menutup bahagian dada, yang jarang, dan dipakai dengan pakaian yang membentuk tubuh merupakan contoh fesyen zaman sekarang yang tersasar daripada tujuan hijab itu sendiri. Yang menyedihkan kita seakan dibawa arus dengan tren seperti ini. Lihat sahaja di mana-mana, di pejabat, di tempat awam semua berlumba mengenakan fesyen sebegitu.
Kesalahan kedua
Makna yang dibawa dengan hijab itu sendiri adalah ‘modesty’, tunduk dan patuh pada syariat dan perintah Allah. Merendah diri tetapi seakan tidak dipamerkan, bahkan ditambah dengan solekan, hiburan di dalam sebuah kelab malam diiringi tarian tidak mencerminkan akhlak dan personaliti Islam itu sendiri. Pemakaian hijab seharusnya selari dengan perwatakan yang dibawa. Bukanlah bertujuan mengadili dan menghukumi, tetapi seharusnya perasaan malu itu wujud dengan pemakaian yang melambangkan nilai-nilai agama dan budaya itu sendiri. Bukankah wanita timur kaya dengan budi pekerti dan kesopanannya yang tersendiri?
Kesalahan ketiga
Sesuatu yang halal apabila bercampur dengan yang haram akan menghasilkan yang haram. Sesuatu cara yang halal tetapi matlamatnya tersasar dari landasan tidak menjadikan cara itu halal. Tidak perlu saya nyatakan lagi kesesuaian tempat yang dipilih dalam mempromosikan tudung tersebut. Suasana yang tidak melambangkan nilai-nilai Islam bahkan mencemarkan lagi maruah agama seharusnya diambil serius. Jika perkara sesensitif ini dipandang remeh, maka keadaan ini akan menghasilkan generasi yang merasakan perkara ini boleh dilakukan kerana ianya tidak menjadi satu kesalahan.
Dengan tiga kesalahan ini, tanyalah diri sendiri di manakah kedudukan kita dan prinsip kita sebagai seorang yang menggelarkan dirinya Muslim? Wajarkah seorang ‘fashion influencer’ dan ‘role model’ untuk anak muda memperlihatkan tingkah laku seperti ini malah untuk dijadikan ikutan? Hijab tidak seharusnya dipakai secara berasingan dengan peribadi Islam. Hijab dan wanita adalah isi dan kuku dalam memelihara maruah seorang wanita. Pakaian melambangkan iman dan takwa, maka seharusnya hijab dipakai dengan mempamerkan ciri-ciri seseorang yang berperibadi Islam.
Sabrina Zaifulizan
Kolumnis dan Aktivis
Isma Johor Bahru
Ulasan
Catat Ulasan