Hijab Fesyen atau Hijab Syari’e?

Islam tidak melarang  wanita muslimah untuk berhias, berpakaian dan bertudung cantik kerana Allah s.w.t. itu cantik dan Allah s.w.t. suka kepada kecantikan. Namun dalam berhias, apa yang paling penting adalah mestilah ia bertepatan dengan syarak. Wanita berpakaian mengikut syarak terbukti dapat menghindarkan maksiat dan mengurangkan masalah sosial yang semakin berleluasa pada masa kini.

Kelihatan cantik dan sukakan akan kecantikan adalah fitrah wanita. Allah s.w.t. menggalakkannya, namun Allah s.w.t membenci orang yang berlebih-lebihan. Wanita kadang-kadang terlupa bahawa perintah Allah s.w.t. untuk menjaga aurat dan cara berpakaian adalah untuk kebaikan diri mereka sendiri dan juga untuk menjaga sekalian umat. Mematuhi perintah Allah itu adalah satu ketaatan dan ibadah. Asas kepada penutupan aurat adalah taat kepada perintah Allah s.w.t. Malangnya, wanita kini banyak terpengaruh dengan fesyen-fesyen Barat dan budaya-budaya bukan Islam yang hanya menitik beratkan kecantikan demi memenuhi nafsu mereka semata-mata, seterusnya menjerumuskan mereka ke kancah maksiat.

Aurat seorang wanita sememangnya telah ditetapkan dalam hukum Islam sepertimana dalam ayat yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada wanita-wanita mukminat agar mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang telah zahir pada dirinya dan hendaklah mereka menutup dengan tudung mereka ke atas dada mereka dan janganlah mereka mendedahkan perhiasan mereka kecuali kepada suami-suami mereka, bapa-bapa mereka, bapa suami mereka, anak-anak mereka, anak-anak suami mereka, anak-anak lelaki bagi saudara lelaki mereka, anak-anak lelaki bagi saudara perempuan mereka, wanita-wanita Islam, hamba sahaya yang mereka miliki, lelaki yang mengikut mereka yang sudah tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan) atau kanak-kanak kecil yang belum mengetahui mengenai aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki mereka supaya diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” (An-Nur: 31)

Menutup aurat merangkumi cara bertudung, jenis pakaian, cara berinteraksi dan juga konsep tabarruj yang mana masih ramai wanita Islam yang lalai mengenainya. Semua hukum ini tidak bermaksud mengongkong wanita Islam tetapi ia adalah sebagai bukti keimanan, bukti ketundukan seorang hamba kepada perintah Tuhannya, bukti menundukkan nafsu di bawah kehendak Allah dan bukti wanita itu menjaga maruah dan harga dirinya.

Sepatutnya pakaian bagi seorang wanita muslimah itu bukan sahaja bertujuan untuk menutup auratnya sahaja malah sekaligus mengangkat maruahnya sebagai seorang wanita. Pakaian yang dimaksudkan adalah pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak dipenuhi dengan perhiasan yang akan menjadi daya tarikan kepada kaum lelaki yang bukan muhramnya.  Pakaian yang boleh melindungi wanita daripada menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Walaupun pemakaian tudung dikalangan wanita Islam kini kelihatan sudah diamalkan dengan meluas jika dibandingkan dengan puluhan tahun sebelum ini, namun pelbagai gaya dan fesyen tudung yang dipakai kebanyakkannya tidak mengikut kehendak syarak yang menyebabkan penutupan aurat tidak sempurna. Dengan segala bentuk dan corak, tudung kadangkala tidak lengkap juga dipakai, bertudung dengan berpakaian ketat, bertudung tapi masih nampak batang leher, nampak dada dan sebagainya.  Semua ini telah menghilangkan makna menutup aurat seperti yang telah digariskan dalam Islam. Tudung yang kini dilihat suatu fesyen terbaru, dianggap hanya sebagai trend semasa yang akhirnya memesongkan kefahaman masyarakat terhadap pengertian sebenar menutup aurat seperti yang dituntut oleh Islam.

Kini, gaya pakaian bertudung sedang melalui era komersialisasi yang amat pesat sehingga ramai  wanita muda memakai tudung bukan kerana kefahaman dan penghayatan yang mendalam, tetapi kerana ia dilihat sebagai trend. Walaupun wanita diberikan kebebasan dalam berhias, berpakaian dan bertudung , tidak bermakna kita boleh memakai apa sahaja pakaian tanpa perlu menghiraukan adab dan tatasusila serta apa yang telah digariskan oleh Islam.

Menjaga keterampilan diri di mata Allah s.w.t semestinya mendapat keredhaanNya, namun fesyen yang melampau mampu mendatangkan kemurkaanNya. Fesyen yang menepati syariat Islam memartabatkan lagi nilai Islam pada pandangan umum iaitu masyarakat sekeliling.

Antara kesan negatif dalam mengikuti fesyen dan trend semasa adalah seseorang wanita sanggup menghabiskan jumlah wang yang banyak demi mendapatkan tudung atau pakaian yang direka oleh pereka fesyen terkemuka dan fesyen yang dipakai oleh artis-artis tertentu. Pakaian mereka yang berjenama direka dan dipasarkan bukan atas dasar muamalah Islamiah tetapi untuk mengaut keuntungan semata-mata berdasarkan kepada nama-nama orang terkenal dan jenama terkenal. Sesungguhnya gaya pakaian terbaik adalah yang besederhana.

Kesimpulannya, Islam tidak melarang seseseorang wanita itu untuk berhias cantik namun perlulah mengikut apa yang telah digariskan oleh syariat Islam. Malah kita digalakkan untuk menghias diri kita secara kemas, cantik dan sederhana. Persoalan penting juga adalah niat kita ketika berhias? Adakah niat kita untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t? Adakah fesyen dan gaya kita selari dengan syariah Islamiah? Kita sewajibnya berhias mengikut apa yang diharuskan syarak dengan penuh rasa ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Wallahu a’lam.

 

 

 

 

 

Ustazah Fauziah Ibrahim
Ketua Wanita ISMA Kuala Terenggganu

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian