Kem Aulad Hebat didik pelajar berakhlak, beramal
HULU LANGAT, 18 Mac – Kelab Anak-Anak Hebat Al-Azim (NAZIM) di bawah Biro Keluarga & Masyarakat (BKM), Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Daerah Hulu Langat (Isma DHL) telah mengadakan Kem Aulad Hebat selama dua hari satu malam di Kem Lubok Manggis, Hulu Langat. Seramai 35 orang peserta telah terlibat berumur 7 hingga 12 tahun.
Antara aktiviti menarik sepanjang kem yang bertemakan “Akhlak Hebat, Amal Terpelihara” adalah permainan ukhuwah, cabaran mandiri, masakan rimba sicilik, bulatan muhasabah, lumba berhalangan dan tadabbur alam.
Setiap aktiviti menguji peserta untuk bertolak ansur, bekerjasama, mendengar arahan serta membuat keputusan. Para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan, dua kumpulan peserta perempuan dan dua kumpulan peserta lelaki. Antara nama kumpulan yang telah diberi sendiri oleh peserta ialah Super Muslimah, Super Solehah, Sultan Muhammad Al-Fateh dan Super Boys.
Di akhir program para peserta mengambil peluang mandi di sungai berdekatan kem. Majlis penutup diserikan dengan majlis penyampaian sijil dan hadiah kepada para peserta.
Program ini mendapat maklum balas yang sangat positif daripada ibu bapa dan peserta.
“Salman al-Farisi sebenarnya kurang kepercayaan kepada kebolehan sendiri sebelum ini. Saya sedang berusaha membantunya membina keyakinan diri. Sokongan pihak Kelab NAZIM banyak mendorong dia dan Salahuddin. Alhamdulillah,” kata Puan Zuhaila, ibu kepada Salman al-Farisi, 12 tahun.
Manakala Ibu kepada Maryam Abdullah, 9 tahun, Puan Mahfuzah melihat program ini sangat menarik minat anaknya dan mengucapkan tahniah kepada penganjur kem.
Kem Aulad Hebat berlangsung sekali setahun dibawah kelolaan kelab NAZIM. Bagi anak-anak berumur 7 hingga 12 tahun yang tidak berkesempatan menyertai KEM AULAD HEBAT pada kali ini, jangan lepaskan peluang sertai program-program anjuran Kelab NAZIM yang akan datang. Jom sertai kami.
Intan Syazwani binti Azmee
Wartawan BKM DHL
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan