Kita adalah pengembara
Daku pernah terbaca sebuah hikayat dari kutaib (kitab kecil) Arab tentang perumpaan dunia;
Terdapat seorang nelayan menjalani kehidupannya sehari-hari dengan menangkap ikan. Rutin hariannya seperti biasa; bangun pagi dia terus ke laut untuk menjala ikan, apabila beroleh tangkapan, dia akan menjualnya di pasar, selebihnya akan dibawa pulang untuk dimakan oleh keluarganya.
Kehidupannya sederhana, perbelanjaan sehari-hari bergantung kepada hasil tangkapan ikan. Namun dia tetap bersyukur. Hinggalah pada suatu hari dia mendapati ada kelainan pada jala tangkapan ikannya. Terlihat satu objek yang bersinar-sinar tersangkut pada jala tersebut. Objek berbentuk bulat kecil. Dibawanya pulang lalu ditunjukkan kepada isterinya di rumah.
“ Wah, ini mutiara yang asli abang! Harganya sangat tinggi. Baik abang menjualnya di pekan. Pasti kita akan mendapat hasil yang banyak daripadanya”
Bergegaslah sang nelayan ke pekan. Ditunjukkan mutiara tersebut kepada seorang saudagar yang kaya. Setelah diteliti mutiara tersebut, ternyata ia adalah mutiara yang asli lagi bermutu tinggi.
“ Demi Allah jika aku menjual seluruh hartaku dan rumahku belum tentu aku dapat membelinya kerana harganya amat tinggi. Pergilah kamu berjumpa dengan sultan di istana. Tentu baginda dapat membeli mutiara ini daripadamu”. Cadangan dari saudagar diterima oleh si nelayan. Dia terus menuju ke istana dan menghadap sultan negeri itu.
Sesampainya di istana, sang nelayan terus menghadap sultan.
“Ampun tuanku, patik datang ke mari membawa suatu hajat.”
“ Apa hajat kamu?” tanya sultan.
“Begini tuanku. Patik adalah seorang nelayan. Pagi tadi sewaktu patik menjala ikan patik terjumpa sesuatu objek yang terlekat pada jala ikan patik. Apabila tunjukkan pada isteri dan saudagar di pekan, mereka mengatakan bahawa ianya adalah mutiara yang asli dan bermutu tinggi. Patik berhasrat untuk menjual mutiara tersebut, namun oleh kerana harganya yang amat tinggi, tidak ada sesiapa yang mampu memilikinya. Justeru patik ingin menunjukkan kepada tuanku jika tuanku berhasrat untuk memilikinya”.
“Baik, tunjukkan mutiara tersebut pada beta”
Ditunjukkan mutiara tersebut pada sultan. Ternyata sultan amat tertarik pada mutiara tersebut.
“Beta amat menyukai mutiara ini. Baiklah beta akan tawarkan sesuatu yang amat berharga sebagai tukaran dengan mutiara ini. Pergilah kamu ke bilik simpanan harta beta di bawah tanah. Kamu boleh ambil apa sahaja yang kamu suka disitu, tetapi beta hanya beri tempoh masa selama dua jam sahaja. Selepas itu, kamu harus keluar dari bilik itu.”
Betapa gembiranya si nelayan mendengar titah sultan. Dia langsung bergegas ke bilik simpanan harta di bawah tanah. Sesampainya di sana, terkesima si nelayan apabila melihat harta yang bertimbun di depan mata. Terdapat tiga ruang di dalam bilik tersebut. Ruang pertama dipenuhi dengan wang dinar, manakala ruang kedua sarat dengan emas dan ruang ketiga terdapat mutiara dan batu permata yang sangat banyak.
“Terasa bagai di syurga”, fikir sang nelayan.
Dia mula mencongak sendirian, harta apa yang dia akan ambil. Rasa takjubnya belum hilang, ditelaah semua emas, permata satu persatu. Dibelek- belek segala perhiasan yang ada. Dia terus terlupa bahawa dia hanya ada masa yang singkat sahaja, jika tidak dikumpul dari awal, dia akan rugi.
Ternyata sang nelayan larut dalam angan-angannya, dibuai dalam mimpi keseronokannya dalam syurga yang sementara. Sementalah masa dua jam telahpun tamat, pengawal istana datang dan memerintahkan sang nelayan untuk keluar dari bilik tersebut. Terpinga-pinga sang nelayan, dia belum pun sempat untuk mengambil apapun harta yang ada. Sedari awal, dia hanya melayan angan-angannya ditemani harta perhiasan yang banyak, tanpa sempat mengumpul harta-harta tersebut.
Tiada guna sesalan di kemudian hari. Masa telah pun berakhir. Sang nelayan pulang dengan kekecewaan. Tiada apapun yang berhasil. Keindahan harta yang sementara itu telah membuatnya terlupa akan matlamat sebenar dia masuk ke bilik itu.
Ya, begitulah umpama manusia dengan dunia. Dunia terlihat indah pada mata kita. Seolah-olah syurga buat manusia. Kenikmatannya terlalu banyak, hingga manusia berlumba-lumba untuk mengejar semuanya. Ada yang mengejar kekayaan, pangkat, mengumpul harta dan aset seperti rumah dan kereta, tidak kurang yang mengumpul perhiasan peribadi seperti emas dan permata.
Setiap hari fikiran kita disibukkan dengan urusan- urusan dunia tanpa memikirkan bekalan-bekalan yang perlu kita bawa ke negeri akhirat yang abadi. Sedangkan nikmat dunia yang kita sibukkan itu tiada satupun yang dapat kita bawa bersama apabila kita mati nanti.
Al-quran sentiasa mengingatkan kita tentang hakikat dunia yang bersifat sementara dan hakikat negeri Akhirat yang abadi.
Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Hadid, ayat 20 :
اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
“Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau, dan perhiasan dan bermegah-megah antara kamu, dan berbangga-bangga tentang harta dan anak-anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan petani, kemudian ia menjadi kering, maka kamu melihatnya kuning, kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat ada azab yang keras dan keampunan daripada Allah dan keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”
Itulah hakikat kehidupan dunia yang sementara. Ia ibarat sebuah tempat yang cantik, dipenuhi perhiasan, tanam-tanaman yang subur, kenikmatan harta benda dan anak-anak, kemewahan yang banyak, namun akhirnya ia akan hancur lebur, hingga menjadi debu-debu yang berterbangan dan digantikan dengan Hari Akhirat. Di sanalah kehidupan yang abadi, setiap amal manusia akan dihitung lalu mereka akan dimasukkan di dalam syurga atau neraka sesuai dengan amal yang telah mereka kerjakan.
Walaupun seringkali diingatkan tentang hakikat ini, ramai manusia yang masih tertipu dengan kecantikan dunia ini. Hati dan jiwa mereka tidak benar-benar beriman dengan Hari Akhirat, tentang pembalasan syurga dan neraka. Akhirnya mereka tertipu dengan hawa nafsu mereka dengan nikmat dunia, lantas mereka terlupa akan tujuan sebenar mereka dihantar ke bumi ini.
Wahai manusia, bangunlah dari tidur dalam angan-angan yang panjang. Ketahuilah masa semakin memburu kita. Umur kita di dunia semakin pendek, kematian sentiasa berlari mengejar kita. Hari demi hari, perjalanan kita ke negeri Akhirat semakin dekat. Apakah cukup bekalan kita untuk ke sana? Bagaimana dengan ibadah kita? Apakah cukup amal kita untuk membawa kita masuk ke syurga?
Kelak, semua harta yang dikumpul akan ditinggalkan. Hanya amal soleh yang dapat membantu kita menghadapi Alam Barzakh nanti. Jadi, mengapa perlu disia- siakan masa hidup kita di dunia? Bangkitlah untuk mengumpul bekalan menuju Hari Akhirat yang abadi. Moga-moga setiap titis peluh kita dikira sebagai pemberat mizan hasanah kita kelak.
Ingatlah kehidupan kita di dunia ini ibarat seorang pengembara sebagaimana dinukilkan dalam sebuah hadis;
عَنْ ابْنِ عُمَرْ رضي الله عَنْهُمَا قَالَ : أَخَذَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِمَنْكِبَيَّ فَقَالَ : كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيْلٍ . وَكاَنَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَقُوْلُ : إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ .
[رواه البخاري]Dari Ibnu Umar radhiallahuanhuma berkata : Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam memegang pundak kedua pundak saya seraya bersabda : Jadilah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara “, Ibnu Umar berkata : Jika kamu berada di petang hari jangan tunggu pagi hari, dan jika kamu berada di pagi hari jangan tunggu petang hari, gunakanlah kesehatanmu untuk (persiapan saat) sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu “
(Riwayat Bukhori)
Jadilah kita sebagai seorang pengembara di dunia ini,yang hanya singgah sebentar di suatu tempat sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi akhir, iaitu negeri Akhirat yang abadi.
Sakinah Bt Yaakob
Biro Media
Isma Temerloh
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan