Langkah pertama tidak pernah mudah

Semangat bertindak

Satu hal mustahil akan terjadi kecuali dengan memulakan. Satu hal tidak akan berjaya tanpa ada satu tapak usaha. Orang yang ingin sukses tidak akan kemana-mana tanpa langkah pertama. Lalu, kita sering mempersoalkan tentang rahsia seseorang sehingga boleh menjadi hebat dan cemerlang. Walhal rahsia atau kuasa ajaib bagi orang yang berjaya, tidak lain hanyalah dengan semangat ingin bertindak. Itulah yang membezakan orang yang berjaya dengan yang tidak.

Sesungguhnya dalam kehidupan, kita bergelumang dengan pekerjaan dan banyak tugasan. Setiap orang punya langkah mula dan sememangnya sulit buat kali pertama, Tetapi dari situlah hadirnya pengalaman untuk diperbaiki sebelum meneruskan langkah seterusnya. Dan selepas beberapa langkah berikutnya, kita mula menjadi mahir dan mampu menguasai apa yang dianggap mustahil sebelum kita mencuba.

Beralasan

Sudah lumrah keresahan timbul apabila kita perlu berbuat sesuatu yang mencabar kebolehan diri. Sebagai contoh apabila situasi yang memerlukan kita untuk bercakap, berucap di atas pentas atau mempengerusikan sesuatu. Tidak semua orang mampu untuk menghadapi situasi seperti ini. Perasaan tidak yakin, tidak bersedia dan takut untuk mencuba selalunya akan melemahkan potensi diri. Ketidakyakinan inilah yang membuatkan kita acapkali beralasan untuk mengelak dari melakukannya. Walaupun kita tahu yang sebenarnya penting untuk kita kuasai. Kebanyakkan masa dan peluang yang diberi dibiarkan tanpa peduli, tidak diambil manfaat, sehingga sampai satu tahap ianya sudah terlambat. Mungkin kerana sudah lapuk atau melebihi kapasiti diri.

Lalu timbul persoalan, sampai bilakah kita akan terus mengelak tanpa mencuba?

Cabar diri seperti seorang bayi

Analogi langkah pertama dapat digambarkan seperti tumbesaran seorang bayi. Apabila kita amati proses pembesaran seorang bayi kita akan dapati bahawa semuanya bermula dari langkah yang pertama. Tidak ada seorang bayi pun yang lahirnya dapat terus berlari. Tetapi mekanisme pertama seorang bayi untuk memulakan perjalanannya adalah dengan mengangkat kepala sedikit, kemudian cuba bergolek, kemudian cuba mengangkat tubuhnya, dan bergerak. Setelah melalui proses dalam jangka masa yang tertentu barulah kita boleh melihat bayi tersebut merangkak untuk kali pertama, kemudian mula berdiri, dan seterusnya melangkah untuk berjalan dan akhirnya mampu berlari.

Begitu juga dalam halnya yang memerlukan kita bercakap atau berucap. Waima seorang yang fasih berkata-kata dan biasa memberi pengisian dihadapan orang ramai juga pernah melalui pengalaman awalnya. Mereka yang melakukan sesuatu untuk kali yang ke seribu juga memulakan langkahnya dengan kali yang pertama. Dari titik mulalah kita mampu mengasah potensi diri untuk terus menjadi lebih baik dari yang sebelumnya.

Terus melangkah

Tatkala sebahagian lain memutuskan untuk berdiam diri dari mulakan langkah yang pertama, seorang yang ingin berjaya seharusnya tidak gentar, yakin dan terus mencabar diri. Sedangkan keraguan yang ada hanyalah ciptaan kita dan hembusan syaitan yang tidak habis menggoda. Syaitan itu yang tidak pernah putus asa, menghambat kita dari pelbagai arah lalu membantutkan potensi kita untuk ke depan. Apatah lagi usaha yang melangkah untuk menuju kebaikan yang semestinya menjadi kebencian syaitan.

Akhirnya, semua ini terpulang kepada diri kita sendiri samada memilih untuk mencuba atau terus beralasan dan hanyut dengan bisikan syaitan. Dan sesungguhnya, individu yang hebat adalah seseorang yang berjuang mencabar diri menjadi berani untuk memulakan langkah pertama walau sesulit manapun pada permulaannya.

Maka teruslah melangkah dan mencuba. Dan teruslah yakini dengan firman Allah swt yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka“.

Olahan artikel dari tulisan Ustaz Mus’ab Norkefli, Ketua Biro Islamiyat Isma cawangan Hulu Langat.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian