REJAB BULAN MENANAM AMALAN
PORT DICKSON, 27 Mac – Tibanya bulan Rejab menandakan kita bakal menyambut bulan Ramadan, bulan penuh barakah, bulan yang di dalamnya ada malam lailatulqadar. Usrah wanita kali ini membincangkan tentang persediaan kaum wanita dalam menyambut bulan Ramadan yang akan bertamu tidak lama lagi.
Ustazah Hayati yang merupakan pentazkirah tetap Usrah Wanita ISMA Port Dickson berkongsi tip-tip menarik bagaimana persediaan kita dalam menerima kehadiran bulan yang dipenuhi rahmat dan keampunan Allah swt.
“Kita perlu membuat persediaan menyambut Ramadan sejak bulan Rejab lagi. Bulan Rejab ini kita sepatutnya telah mula menanam dan berlatih untuk berpuasa, bersedekah, berqiamullail, membaca Al-Quran dan segala amalan-amalan sunat yang lain supaya kita terbiasa untuk melakukannya apabila tiba bulan Ramadan nanti, “ jelas Ustazah Hayati.
Menurut beliau lagi, kita perlu lebih bersungguh-sungguh dalam membuat persediaan menyambut Ramadan, bukan bersungguh-sungguh menyambut syawal. Ketika inilah waktu yang sesuai untuk kita membersihkan persekitaran rumah dan menghias rumah kerana kita bakal menerima tetamu Allah. Biarlah kita menerima tetamu dalam keadaan yang bersih dan cantik.
Diakhir ceramahnya, Ustazah Hayati turut mengingatkan supaya kita sentiasa mengamalkan doa ini sepanjang bulan Rejab dan Syaaban iaitu “Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan lah kami ke bulan Ramadan”. Beliau turut menambah agar kita juga perlu sering berdoa agar sentiasa diberi kesihatan yang baik supaya dapat mengerjakan amalan dengan sempurna.
Usrah wanita kali ini turut dihadiri oleh Puan Maimon Binti Koming, Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat Isma Port Dickson
Oleh Habsah Abdul Shaer
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan