MENANTI MATAHARI TERBIT BUAT ISLAM

Penduduk Jepun beratur di hadapan kedai selepas bencana tsunami

Berpeluang untuk ke Tanah Suci mengerjakan umrah baru-baru ini membuatkan saya terfikir beberapa persoalan. Dalam keadaan berhadapan dengan lautan manusia yang mempunyai satu misi yang sama iaitu beribadah, pastinya pada banyak ketika kita tidak akan dapat mengelak daripada terpaksa berada dalam keadaan bersesak-sesak.

Berhimpit untuk melakukan pusingan tawaf, mencari tempat untuk melambai Kaabah di atas Safa dan Marwah, mencari tempat masuk ke dalam barisan saf solat mahupun di ketika ingin menggunakan tandas atau mengambil wuduk tatkala hampir masuk waktu. Apatah lagi jika ingin berdoa berhadapan dengan Multazam, solat sunat di Hijir Ismail dan mencium Hajarul Aswad.

Bagi yang pernah berpeluang merasainya pasti dapat menggambarkan suasana hiruk pikuknya bagaimana.

Keadaan ini membuatkan saya terfikir, “Bagaimana agaknya jika Kaabah ini terletak di Jepun. Adakah orang akan beratur panjang mengelilingi Kaabah sabar menunggu giliran masing-masing untuk mencium Hajarul Aswad?”

Jepun sangat sinonim dengan sikap disiplin yang tinggi, bersungguh-sungguh dalam melakukan suatu pekerjaan, menepati masa dan juga menjaga kebersihan.

Ramai orang akan memberikan contoh negara maju ini dalam hal-hal menunjukkan sikap yang baik yang disebutkan tadi termasuklah para asatizah mahupun penceramah-penceramah motivasi. Masakan tidak dipuji, hatta di ketika waktu bencana sekalipun, mereka boleh berdisiplin beratur mendapatkan bantuan yang diagih-agihkan dengan tertib.

Perbezaan yang sangat ketara dari sudut adab dan akhlak dari dua negara ini membuatkan saya tertanya-tanya apakah yang membuatkan rakyat Jepun mampu untuk memiliki sikap seperti yang disebutkan tadi walhal mereka adalah satu kaum yang tidak membaca Al-Quran malah majoritinya tidak beragama.

Apakah yang mendorong mereka untuk bersikap begitu?

Kita semua maklum bahawa selain daripada soal keimanan, Islam juga sangat menitikberatkan perihal akhlak dan tingkah laku. Semua sikap baik seperti berdisiplin, tidak berebut-rebut sehingga mengambil hak orang, menepati masa, menjaga kebersihan dan banyak lagi adalah merupakan sikap-sikap yang mesti dimiliki oleh setiap umat Islam.

Lihat sahaja betapa banyak ayat al Quran dan Hadis yang menganjurkan umat Islam untuk berakhlak mulia. Malah, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik.” (HR. Bukhari)

Daripada pengamatan sendiri saya membuat kesimpulan bahawa yang hilang dalam diri umat Islam bukanlah agama dan ajarannya akan tetapi yang hilang adalah penghayatan terhadap apa yang diajarkan. Saya yakin jika umat Islam secara keseluruhannya benar-benar mempelajari, menghayati dan mengamalkan apa yang dituntut oleh agamanya, kita akan jadi suatu umat yang sangat baik, malah jauh lebih baik lagi berbanding rakyat Jepun tadi kerana kita berakhlak mulia kerana kita beriman terhadap hari akhirat.

Sudah tentulah ada hikmah yang tersembunyi mengapa Rasulullah dan al Quran diturunkan di tengah-tengah bangsa Arab yang sangat dikenali dengan sikap-sikap buruk yang tertentu yang tidak ada pada bangsa lain.

Tak dapat nak dibayangkan jika bukan bangsa ini yang mendapat sentuhan rapat dari para nabi.

Berbalik kepada rakyat Jepun tadi, jika mereka memiliki teknologi dan akhlak insani yang tinggi, yang hilang pada diri mereka ialah keimanan. Walaupun mereka memiliki sikap-sikap yang patut dicontohi, yang pasti ianya bukanlah bertujuan untuk mengejar syurga. Disebabkan oleh itulah secara senyap sebenarnya mereka juga sedang menuju kepada kehancuran.

Umum mengetahui bahawa Jepun mempunyai kadar bunuh diri yang tinggi dan mempunyai masalah pornografi serta seks bebas yang menjana industri berpendapatan tinggi dalam kelas yang tersendiri. Inilah juga realiti suatu umat yang sering diberi kredit dalam hal-hal mempunyai beberapa sikap baik yang dibincangkan tadi.

Justeru, tiada jalan terbaik untuk mendapatkan kesejahteraan hidup di dunia ini melainkan dengan kehidupan beragama. Umat Islam perlu dididik untuk menghayati agama yang dianutinya, bukan sekadar mengaku beriman tetapi tidak mengamalkan. Keimanan terhadap adanya syurga, neraka, dosa dan pahala seharusnya dizahirkan dalam kehidupan kita sehari-hari bukan sahaja dalam sudut beribadah semata-mata tetapi juga akhlak dan tingkah laku kita.

“Sesungguhnya yang paling aku cintai di antara kalian dan yang paling dekat tempat tinggalnya denganku pada hari kiamat adalah yang paling mulia akhlaknya” (HR. Tirmidzi)

“Tidak ada sesuatu pun yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin pada hari kiamat daripada akhlak yang mulia” (HR. Tirmidzi)

“Sebaik-baik kalian adalah yang paling mulia akhlaknya” (HR. Bukhari dan Muslim)

Beringatlah kita bahawa, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang pada diri mereka” (QS Ar-Ra’d: 11). Kembalilah kepada al-Quran dan Sunnah, sesungguhnya kita akan menjadi suatu kaum yang sangat berakhlak mulia.

 

Nukilan:
Nurul Akmar Ramli
JK Perhubungan Luar ISMA Jepun
Biro Luar Negara ISMA

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian