Wanita Isma Temerloh tekankan keseimbangan rumah tangga dan kerjaya
TEMERLOH, 15 April– Isma Temerloh menekankan kepentingan aspek kemahiran pengurusan rumah tangga di kalangan wanita bekerjaya. Hal ini disampaikan oleh Ketua Wanita Isma Temerloh, Puan Saedah Md Salleh, sewaktu sesi perkongsian bersama peserta dalam aktiviti Malam Bina Iman dan Taqwa (MABIT) yang telah berlangsung pada 14 hingga 15 April 2018.
Beliau mengingatkan bahawa wanita menggalas tanggungjawab yang penting dalam pembentukan sebuah keluarga yang sejahtera. Oleh itu, peranan seimbang harus dimainkan di antara tugas sebagai seorang isteri, ibu dan pekerja.
“Walau sesibuk mana seseorang wanita itu, dia tidak boleh meninggalkan tugas hakikinya di rumah. Wanita adalah tulang belakang kepada pembangunan sesebuah keluarga. Dia perlu memberi tumpuan lebih kepada pengurusan rumah tangga dan anak-anak berbanding tugasan di luar,” ujar Puan Saedah dalam menyampaikan nasihat kepada para peserta yang terdiri daripada ahli Isma.
“Untuk menggalas tugas tersebut, para wanita perlulah mempersiapkan diri mereka dengan kemahiran pengurusan rumah tangga seperti memasak, mengemas dan menghias rumah. Mereka juga perlu belajar kemahiran ‘multitasking’ dalam menyelesaikan pelbagai perkara dalam satu masa.”
”Pada masa yang sama, para wanita juga perlu memainkan peranan yang besar dari sudut pentarbiahan anak-anak. Anak-anak perlu dididik sebaik mungkin agar mereka boleh menyambung perjuangan dakwah dan tarbiyah dari ibu dan bapa mereka.”
Tambah beliau lagi, peranan suami juga tidak kurang pentingnya dalam rumah tangga. Suami perlulah membantu isteri dalam urusan rumah tangga dan merencana pentarbiahan anak-anak. Beliau turut berkongsi pengalamannya mendidik lapan orang anak di samping tugasnya sebagai seorang guru dan aktivitis dakwah sebagai panduan kepada generasi ibu muda pada hari ini.
Peserta yang hadir dari pelbagai kawasan seperti Kuala Lipis, Jengka, Jerantut dan Temerloh turut diberi peluang untuk mengasah bakat memasak masing-masing dalam aktiviti membuat roti jala, sebagai salah satu persediaan dalam menyediakan juadah berbuka puasa bagi menyambut bulan Ramadhan yang hampir tiba. Program sebegini akan diadakan lagi pada masa akan datang bagi membantu para wanita meningkatkan kemahiran pengurusan rumah tangga.
Oleh :
Fatimah Hana
Aktivis Isma Temerloh
Ulasan
Catat Ulasan