Barah Trend Remaja: Cabaran ‘Syantik Dance Challenge’

Baru-baru ini tular di media sosial video beberapa pelajar sekolah menengah yang membuat persembahan tarian yang dinamakan ‘Syantik Dance Challenge’ semasa sambutan hari guru. Insiden ini berlaku di beberapa buah sekolah menengah.

Syantik dance challenge menjadi tular apabila beberapa artis tempatan turut terlibat sama mempopularkan cabaran ini. Cabaran ini adalah tarian mengikut rentak lagu Lagi Syantik ( Lagi Cantik) yang merupakan sebuah lagu dangdut nyanyian Siti Badriah, seorang artis Indonesia.

Jika sebelum ini ‘Panama Dance Challenge’ yang dilakukan oleh beberapa agensi kerajaan mendapat kritikan hebat daripada netizen kerana isu tidak sopan, Syantik Dance patut turut mendapat teguran yang sama.

Tambahan pula melibatkan remaja sekolah dan dilakukan semasa upacara rasmi sekolah. Lirik lagu ‘Lagi Syantik’ bertemakan rayuan seorang kekasih kepada sang kekasih membawa mesej yang tidak sesuai untuk remaja.


Remaja tertarik dengan cabaran kerana otak mereka telah diprogramkan untuk mencari pengalaman baru bagi menggalakkan pembelajaran tapi kekurangannya mereka tidak mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan yang rasional. Hal ini kerana perkembangan otak mereka belum sempurna ditambah pula dengan penghasilan hormon yang berlebihan oleh otak semasa peringkat akil baligh termasuk hormon dopamine untuk meningkatkan kematangan seksual remaja.

Hormon dopamin memberikan rasa ‘feel good’ yang mendorong seseorang melakukan apa yang menyeronokkan. Otak remaja dipenuhi dengan hormon ini yang mendorong untuk mencari stimuli/rangsangan yang berterusan dan ganjaran.

Kesimpulannya mereka mungkin melakukan cabaran yang tidak berfaedah hanya untuk mendapatkan keseronokan dan perhatian. Media sosial meningkatkan lagi kecenderungan mereka untuk melakukan cabaran ini kerana ketagihan kepada pengiktirafan dengan ‘like’ dan ‘share’ yang bertambah menambahkan populariti mereka.

Di negara barat, cabaran media sosial adalah sangat popular dan sentiasa bertukar tukar. Remaja di sana sanggup melakukan cabaran media sosial sehingga membahayakan dan membunuh diri sendiri contohnya ‘Blue Whale Challenge’. ‘Blue Whale Challenge’ merupakan satu permainan yang memerlukan seseorang membunuh diri sebagai tugasan terakhir permainan dan telah menyebabkan beberapa kes kematian remaja di barat.

Generasi Z iaitu generasi remaja sekarang sangat dekat dengan internet dan media sosial. Cabaran media sosial dari luar negara mudah untuk sampai ke negara kita. Adalah penting untuk orang dewasa terutama para guru dan ibubapa untuk membimbing remaja untuk yakin pada diri sendiri tanpa perlu mendapatkan pengiktirafan daripada media sosial. Mereka perlu dididik dengan sifat malu untuk melakukan perkara yang mungkar dan didedahkan tentang cara yang selamat menggunakan media sosial atau internet.

 

Nor Atiqah Jamil
Jabatan Kajian Kelab Remaja ISMA

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian