Kembalilah kepada fitrah di Ramadhan ini

Segala puji bagi Allah tuhan semesta alam, padanya segala kekuasaan dan kehebatan, juga padanya segala kerahmatan dan keampunan buat semua muslimin muslimat sekalian. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi s.a.w., penghulu anbiyak, tanpa usaha keras dan sifat ihsan baginda, kita tidak temui cahaya hidayah Islam pada ketika ini.

Hati ini sangat membuak-buak, dengan perasaaan yang sungguh mendalam, untuk meluahkan isi hati tentang betapa diri ini merindui bulan Ramadhan yang kali ini. Dalam fikiran itu terbayang sudah saat-saat di bumi Mesir dahulu, dengan suasana yang amat meriah dan gilang-gemilang untuk menyambut bulan Ramadhan. Pada zahirnya, dengan banner dan poster Ramadhan diangkat, tanglung dan lampu kelip-kelip siap sedia dipasang, juga masjid-masjid makin diimarahkan dengan majlis ilmu dan tazkirah-tazkirah mengenai Ramadhan.

Suasana di Malaysia juga tidak kurang hebatnya.  Masjid-masjid sudah penuh dengan akiviti sepanjang Ramadhan, juga imam tarawih dan sumbangan-sumbangan orang ramai untuk mengutip pahala di bulan yang penuh barakah ini.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda dan maksudnya;

“ Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan penghisaban (untuk mendapat keampuanan), diampunkan baginya semua dosa-dosa yang telah lalu”

“ Bila datangnya bulan Ramadhan, terbukalah (seluas-luasnya) pintu Syurga, dan tertutuplah (serapat-rapatnya) pintu Neraka, dan terbelenggulah para Syaitan”

Nah, inilah saat yang kita nantikan, rahmat dan keampunan Allah itu sangat dekat lagi-lagi pada diri ini si pendosa.

Neraka jahanam itu terasa jauh-jauh sekali dan pintunya ditutup rapat-rapat. Subhanallah.

Bagi sebahagian daripada manusia, bulan yang sungguh hebat dan mulia ini sama seperti bulan-bulan yang lain. Apabila tiba saatnya, dilalui biasa sahaja dengan puasa dan berbuka, sehinggalah hujung-hujung bulan menanti hari Raya untuk berkumpul sesama sanak saudara.  Sama ada menyediakan diri ataupun tidak, Ramadhan tetap tiba dan dilalui juga, sama seperti bulan-bulan yang lain.

Perasaan yang ini boleh diibaratkan seseorang ingin menghadapi kematian.

Ya, meninggal dunia.

Sama ada bersedia, menyediakan diri atau tidak, kematian tetap dilalui seperti itu adalah hal yang biasa. Tidak perlu kepada bekalan dan tuaian tanaman di dunia. Hal yang sedemikian perlu berbalik kepada keimanan seseorang itu kembali.

Hakikatnya Ramadhan itu tidak akan tertunda sepertinya juga kematian itu juga tidak akan tertunda. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

“ Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu, maka apabila datang waktunya, mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya” ( surah Al –A’raf:  34)

 

Sebuah tubuh yang berkerusi roda

Selain bulan Mei ini diingati dengan Hari Ibu, Hari Guru, Hari Buruh dan hari jadi seseorang, bulan yang mulia ini mengingatkan daku pada hari matinya sebuah tubuh yang berkerusi roda.

Seorang tua yang jasadnya telah diwaqafkan untuk perjuangan mengangkat kalimah Allah,  matanya yang buta, hilang deria dengarnya,  dan kata-katanya sangat perlahan kedengaran, tetapi mampu meniupkan ruh ke dalam jiwa anak-anak muda untuk meninggalkan kemaksiatan dan kelalaian lalu menggabungkan diri dengan kesatuan dakwah dan bergerak seiringan melawan musuh Allah ta’ala dari kalangan manusia dan syaitan.

Mengambil semangat Syeikh Ahmad Yassin, mentarbiyah anak-anak muda untuk memperuntukkan masa keemasan ini, di waktu kuatnya tenaga dan semangat kepemudaan untuk bergabung dengan gerombolan dakwah dan membina ketumbukan harakah menentang kayan jahiliyyah.

Semuanya bermula dengan madrasah Ramadhan. Mengajak kita kembali kepada bacaan al Quran, hafalan dan tadabbur al Kitab. Mengajak kita kembali kepada berqiamulail, berzikir, bermunajat dan bertaubat kepada Allah s.w.t. Mengajak kita kembali kepada menghidupkan halaqah-halaqah keimanan. Mengajak kita untuk meniupkan ruh jihad kepada masyarakat setempat untuk melawan nafsu amarah bissuk dan hawa jahiliyyah.

Pesan beliau;

“ Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada Allah dengan meninggalkan pelbagai keseronokan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkan jauh kealpaan kehidupan kalian. Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat Subuh secara berjemaah. Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan isi kandungan Al Quran serta mencontohi kehidupan Kekasih Allah Nabi Muhammad s.a.w…..” – zikrayat Syeikh Ahmad Yassin (22 Mac 2004)

Hasilnya, madrasah Ramadhan ini mampu mencetak mujahid dakwah yang hebat.

Mungkin perkataan “kembali” adalah suatu yang sangat significant untuk Ramadhan kali ini. Kembalilah kepada fitrahmu, kembalilah kepada Allah s.w.t, kembalilah menjadi mujahid dakwah membantu kerja-kerja umat yang berat ini.

Kemuliaan itu hanya pada yang bersama-sama memikul beban tanggungjawab sepertimana yang dilalui oleh para Nabi, sahabat, tabien, salafussoleh, daieyah, rakaiz dakwah, mujahidin dan al akh amalin.

Wallahualam.

 

Dr Mukmin bin Mohd Khairi

Setiausaha Ikatan Muslimin Malaysia

(ISMA) Cawangan Temerloh

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian