ismakualaterengganu

PERUTUSAN AIDILFITRI PRESIDEN ISMA TAHUN 2018 (1439H)

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الانبياء والمرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين، أما بعد اللهُ اكبَرْ, اللهُ اكبَرْ اللهُ اكبَرْ ا...

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الانبياء والمرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين، أما بعد

اللهُ اكبَرْ, اللهُ اكبَرْ اللهُ اكبَرْ اللهُ اكبَرُوَللهِ الحَمْد

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Saya mewakili keluarga dan warga ISMA ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia serta seluruh muslimin dan muslimat di mana sahaja mereka berada.

Muslimin-muslimat yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah, kita masih lagi diberi kesempatan untuk meraikan hari kebesaran dan kemenangan umat Islam dalam keadaan aman. Mudah-mudahan amalan kita diterima dan mendapat keampunan di sisi Allah SWT. Semoga ia menjadi bekalan penting kepada kita di dunia dan akhirat.

Hari Raya Aidilfitri adalah hari untuk kita meraikan kemenangan besar di mana kita diberi pengampunan, menjadi suci bersih seperti di awal kelahiran kita. Semoga kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang diterima oleh Allah SWT.

اللهُ اكبَرْ, اللهُ اكبَرْ اللهُ اكبَرْ اللهُ اكبَرُوَللهِ الحَمْد

Marilah sama-sama berdoa berbekalkan jiwa yang bersih, agar kita mampu untuk terus istiqamah dalam memilih jalan ketinggian dan kemuliaan serta menentang jalan kesesatan yang dimurkai oleh Allah SWT.
Muslimin-muslimat yang dikasihi sekalian.

Saya menyeru umat Islam di seluruh dunia agar berjuang dengan bersungguh-sungguh bagi merealisasikan kemenangan yang hakiki, sehingga kita dapat mengembalikan kemuliaan diri umat Islam dan memangkinkan jalan hidayah untuk membawa sinar dalam kehidupan manusia. Kehidupan yang menjunjung firman dan meninggikan sabda.

Justeru itu, saya menyeru agar kita terus berpegang kepada al-Quran dan as-sunnah seperti ianya diturunkan kepada Nabi SAW tanpa tambah dan tanpa kurang.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: “Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah,” (s.a.w.)

Dengan berpegang kepada ajaran Islam yang tulen, kita dapat menyelamatkan umat Islam dari barah perpecahan akibat daripada pengaruh fahaman Islam yang bukan dari sumber yang asli.

Inilah panduan terpenting dan terunggul yang harus kita jadikan asas dalam mencorakkan segala aspek kehidupan kita sebagai hamba Allah SWT.

Kita wajib untuk bersatu-padu dalam mempertahankan kedudukan agama, bangsa dan negara. Ambillah kesempatan sempena aidilfitri ini untuk kita memperkukuhkan perpaduan, menjalinkan silaturrahim dan mengeratkan hubungan sesama kita.

Muslimin-muslimat yang dikasihi sekalian.

Hari ini, umat Islam berdepan dengan cabaran yang sangat getir. Janganlah kita melupakan pengajaran yang telah berlaku kepada saudara-saudara kita di Palestin, Kashmir, Filipina, Syria, selatan Thailand, Vietnam dan Kemboja.

Ingatlah bahawa tanahair kita yang ‘sekangkang kera’ ini bila-bila masa sahaja boleh terlepas ke tangan orang lain jika kita terus berpecah-belah dan bersengketa.

Marilah semua kita kembali kepada Islam sebagai penyelesaian kepada kemelut ini. Kita perlu menzahirkan kesyukuran kita dengan mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan perpecahan, supaya musuh-musuh Islam tidak memiliki kesempatan dalam melaksanakan agenda kerosakan mereka kepada kita.

اللهُ اكبَرْ, اللهُ اكبَرْ اللهُ اكبَرْ اللهُ اكبَرُوَللهِ الحَمْد

وبالله التوفق والهدية ,والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Ustaz Haji Abdullah Zaik bin Abd Rahman
Presiden ISMA

Sumber

Related

TERKINI 3082035934226262916

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item