Program Bakul Ramadhan Di Kubang Kerian
Kubang Kerian, 10 Jun – Dengan slogan ” Gandakan pahala di bulan mulia”, gandingan I-Medik Kelantan, Yayasan Ikhlas dan Wanita ISMA Kota Bharu telah menjayakan kempen Bakul Ramadan 2018.
Program ini berhasil mengumpulkan dana sumbangan daripada orang ramai untuk diagihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan. Lebih daripada 100 orang yang kebanyakannya adalah terdiri daripada pesakit kronik, pesakit kanser dan fakir miskin di sekitar Kelantan, telah menerima sumbangan berupa bantuan keperluan asas.
Program ini disasarkan ke beberapa kawasan dan peringkat. Kali ini, majlis berlangsung di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). Adalah dimaklumkan, tahun ini adalah tahun kedua berturut-turut diadakan di hospital universiti ini.
Majlis ini diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat Profesor Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim, Pengarah Kampus Kesihatan USM, Pengurus Yayasan Ikhlas Ustaz Abdul Rahman Iskandar dan wakil I-Medik Kelantan, Dr Wan Mohd Nazri Wan Zainon. Majlis penyerahan sumbangan telah berlangsung di Dewan Auditorium Jabatan Perubatan Kecemasan HUSM, dengan kerjasama Jabatan Kerja Sosial HUSM.
Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim menyatakan penghargaannya kepada NGO-NGO I-Medik, Yayasan Ikhlas dan Wanita ISMA kerana menganjurkan program yang cukup bermakna bukan sahaja kepada penerima tetapi juga kepada pihak hospital. Beliau bangga dengan penglibatan staf dan pelajar dalam NGO, dan beliau menzahirkan rasa gembira atas perkongsian rezeki kepada pihak yang amat memerlukan.
Kata beliau ” NGO yang aktif boleh memberikan impak yang lebih berkesan kepada para pesakit kerana pengurusan hospital dengan kekangan yang sedia ada tidak mampu menanganinya secara sendirian. Dengan kewujudan NGO-NGO seperti inilah, diharapkan kekurangan yang ada dapat ditampung demi memenuhi keperluan pesakit.”
Ujarnya lagi, “Ramai sebenarnya di kalangan masyarakat ingin menyumbang. NGO-NGO telah berperanan menyediakan platform untuk mereka menyumbang. Hasilnya kita lihat pada hari ini secara langsung usaha kita membuahkan sesuatu yang cukup bermakna di bulan Ramadan ini”.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan