Perempuan di Dapur, Perempuan Berkerjaya

“Perempuan belajar tinggi mana pun akhirnya ke dapur juga akhirnya”

“Eh, belajar tinggi-tinggi tak nak kerja pula budak ni!”

“Habiskan duit mak ayah je hantar kamu belajar tinggi-tinggi, jah. Nak duduk rumah pula dia ni.”

Ini antara dialog yang sering kita dengar berkenaan wanita yang mempunyai hasrat menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.

Daripada Anas bin Malik r.a., dia berkata,

“Para perempuan datang kepada Rasulullah S.A.W.” dan mereka berkata, “Wahai Rasulullah, lelaki keutamaan dengan berjihad di jalan Allah, lalu amalan apa yang setanding dengan jihad di jalan Allah bagi kami?” Baginda bersabda, “Pekerjaan salah seorang di antara kamu di rumahnya setanding dengan pahala amalan lelaki yang berjihad di jalan Allah.”

– Hadis Riwayat Abu Ya’la dan Al-Bazzar. (Majma ‘Az-Zawaid, 4 : 303)

Seorang suri rumah/isteri/ibu akan menguruskan rumah daripada segi kebersihan dan kekemasan hinggalah penyediaan makanan untuk isi rumahnya. Sihatnya seseorang itu bergantung dengan apa yang dia makan. Sudah pastinya mereka akan menyediakan makanan yang berkhasiat, bersih dan penuh kasih sayang untuk ahli keluarganya.

Temui di KONWANIS 2018. Daftar segera!

Seringkali kita membaca di dada-dada akhbar tentang kes penderaan dan kecuaian oleh para pengasuh sehingga melibatkan kecacatan kekal malah kehilangan nyawa. Ini sangat membimbangkan. Antara solusi terbaik adalah dengan kita sendiri menjaga anak masing-masing. Mana mungkin bagi seorang ibu yang mengandungkan anaknya 9 bulan dan bertarung nyawa melahirkannya bersikap kasar terhadap permata hatinya.

Ibulah segala-galanya. Dialah pengajar, pendidik dan pengasuh anak-anaknya. Dialah pengubat di kala ahli keluarganya sakit. Dialah pereka dalaman untuk menghiasi rumahnya. Dialah tukang jahit jika baju anak-anaknya koyak malah dialah juga akauntan yang cekap menguruskan kewangan keluarganya. Tidak lengkap institusi kekeluargaan tanpa seorang wanita berwibawa. Sabda Rasulullah S.A.W,

“…isteri adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya.”

– Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Namun Islam tidak menghalang untuk wanita bekerja. Wanita yang bekerja telah menjadikan sesuatu fardhu ain kepada fardhu kifayah. Posisi jururawat diisi oleh wanita dan jika ianya tidak diisi oleh wanita, mampukah kaum lelaki mengisi posisi ini? Dan ketika mana ianya tidak diisi oleh wanita makanya menjadi fardhu ain kepada semua wanita untuk mengisi posisi ini. Jika tidak ada jururawat perempuan, mahukah kita sebagai pesakit wanita dirawat oleh jururawat lelaki, khususnya dalam dewan bersalin? Tepuk dada tanyalah iman.

Realitinya pada hari ini, gerakan feminisme memandang rendah akan wanita suri rumah dengan menganggap bahawa ia sebagai satu pekerjaan yang kolot dan tidak menguntungkan. Mereka mengatakan bahawa ini adalah satu penindasan ke atas wanita. Wanita perlu diberi hak untuk bekerja.

Wanita suri rumah dan bekerjaya memainkan peranannya yang tersendiri. Islam tidak merendahkan mana-mana golongan malah Islamlah yang mula-mula mengangkat dan memartabatkan wanita ketika mereka dihina dan dinafikan hak.

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di hadapan Allah adalah orang yang paling bertaqwa.”

– Al-Hujurat, (49:13)

Wahai suri rumah tangga, berbanggalah kamu kerana kamulah ratu seisi keluargamu.

Wahai wanita bekerjaya, berbanggalah kerana kamu telah memenuhi tuntutan fardhu ain kepada wanita lain.

“Wanita bahagia, negara sejahtera.”

Shahidah Jalil
Aktivis ISMA Melaka

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian