Aktiviti Kemasyarakatan: Di manakah KITA saat ini ?

 

 

Sepanjang bercuti di tanah air tercinta, adakah kita hanya sekadar mengisi masa di rumah menikmati pelbagai juadah, tidur lena bertilam empuk, menonton wayang, bermain permainan video, bersuka ria melihat konsert sana sini?

Ataupun adakah kita sedang berada bersama-sama golongan menyumbang bakti, berusaha menyelamatkan ummah serta membantu masyarakat yang memerlukan?

Kehidupan diri kita yang diserikan dengan beribu nikmat, buat kita lupa untuk berpaling seketika dari tempat duduk penuh selesa, memandang dunia luar sana yang penuh mencabar.

Realitinya di program jalinan pada kali ini, perkongsian daripada Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU) telah membuka mata kami bahawa betapa ramai rupanya pihak di luar sana sedang bertungkus lumus membantu masyarakat daripada pelbagai lapisan umur bagi memastikan kebajikan,pendidikan dan kehidupan terpelihara berlandaskan prinsip patuh syariah.

Bukan itu sahaja, banyak sebenarnya khidmat masyarakat yang boleh kita sertai daripada anjuran pihak kampung sehinggalah peringkat universiti sendiri.

Oleh itu,wajarkah KITA sebagai sesama saudara hanya mendiamkan diri, menyimpan kudrat, tidak mahu membantu organisasi yang ada memerah keringat dan idea bagi memperluaskan jaringan untuk membela nasib orang yang kurang bernasib baik hanya kerana kita tidak mahu mengorbankan keseronokan diri sendiri yang sementara?

Perlukah kita membiarkan aktiviti harian kita tergolong dalam kalangan anak muda yang diserang pemikiran dengan unsur pembawaan 4F (Food, Fun, Film, Fashion) dan 5S (Sex, Smoke, Sains, Sport, Song)?

Jika kita lihat aplikasi laman sosial yang ada pada hari ini, pasti kita sendiri dapat melihat bahawa kebanyakan anak muda kini hanya menginginkan keseronokan.
Namun, mereka tidak sedar keseronokan dalam dunia hiburan itu hanyalah sementara dan tidak akan puas sehinggalah mereka mengulangi tabiat yang sama.

Mungkinkah kerana mereka belum dapat merasakan keseronokan membantu orang lain?

Di sini jugalah sukarelawan yang ada perlu memainkan peranan. Manfaatkan facebook, twitter, instagram atau mana-mana akaun yang kita punya untuk berkongsi pengalaman, menyampaikan informasi mengenai institusi yang memberi ruang untuk anak muda turun padang bersama menyantuni dan membantu masyarakat di luar sana.

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya” (Al-Maidah 5:2)

Celik mata, buka fikiran, pasakkan hati, cakna dengan keadaan mereka. Ambil beratlah dengan keadaan di sekeliling dan ingatkanlah diri kita supaya tidak hidup dengan hanya sibuk meninggikan menara sendiri, tapi buatlah jambatan yang menghubung menara bersama.

Jadilah insan yang gemar memberi, selagi kita mampu. Dengan izin Allah, manfaatnya akan kembali kepada kita sama ada di dunia atau akhirat.

 

Nurzaira binti Ahmad Zamri
Ahli ISMA Eropah

 

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?