Wanita-wanita di sebalik hijrah

Tibanya Muharam, pasti terimbau kisah-kisah hebat perjalanan hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat dari Mekah ke Madinah. Hijrah adalah peristiwa yang besar buat seluruh umat Islam kerana ia merupakan langkah utama ke arah pembinaan sebuah masyarakat muslim yang pertama, hidup di bawah kemakmuran pemerintahan Islam. Padanya kita pelajari erti pengorbanan, usaha tanpa lelah, perancangan strategi dan tawakkal hanya kepada Allah.

Kisah Ummu ‘Ammarah dan Ummu Mani’

Dalam beribu kisah hebat hijrah, wanita Islam tidak ketinggalan dalam menyahut seruan hijrah. Malah ada yang menyumbang peranan besar dalam menjayakan peristiwa hijrah tersebut. Antara penyumbang wanita terawal adalah 2 wanita Ansar yang turut serta dalam Bai’ah Aqabah kedua iaitu Nusaibah binti Kaab (Ummu ‘Ammarah) dan Asma’ binti Amr (Ummu Mani’). Penyertaan kedua wanita hebat ini merupakan bukti bahawa Islam tidak pernah mengabaikan peranan dan penglibatan wanita dalam peristiwa penting sebegini, malah tugas wanita tidak terhad terhadap perkara-perkara yang remeh, sebaliknya pandangan dan sumbangan mereka terhadap perkara-perkara besar dan rumit juga diperlukan.

Baiah Aqabah 2 berlaku dalam suasana yang penuh rahsia dan berhati-hati, dilakukan di pertengahan malam ketika para delegasi haji tenggelam dibuai mimpi. Hasil kesepakatan Ansar dalam Bai’ah Aqabah kedua ini untuk berjihad dan berkorban membela Islam dan melindungi Rasulullah SAW dan para sahabat muhajirin, yang akhirnya membawa kepada penghijrahan Rasulullah SAW dan para muslimin ke Madinah. Meskipun hanya 2 orang wanita yang terlibat atas unsur keselamatan, namun itu merupakan satu pencapaian yang besar pada saat wanita-wanita selain Islam di waktu itu dipandang sebagai beban yang hina, kotor dan menyusahkan. Selain itu, peristiwa ini menyangkal dakwaan negatif bahawa  wanita makhluk yang lemah, suka memikirkan perkara remeh atau simple minded. Sebaliknya mereka  boleh diberi tanggung jawab untuk untuk memikirkan perkara serumit hal ehwal kenegaraan.

Kisah Asma’ Binti Abu Bakr

Penceritaan detik penghijrahan Rasulullah SAW bersama sahabatnya Abu Bakr RA ke Madinah juga tidak lengkap tanpa menceritakan tentang sosok wanita seteguh gunung, Asma’ Binti Abu Bakr. Asma’ RA bukan sahaja diberi kepercayaan untuk menyimpan rahsia tempat persembunyian Rasulullah SAW dan Abu Bakr RA, malah dalam keadaan yang sarat mengandung turut menghantar bekalan makanan buat kedua sahabat baik itu. Keberanian Asma’ tidak hanya terlihat pada ketika beliau menghantar makanan di kegelapan malam bagi mengelak diketahui Quraisy, malah turut tergambar pada teguhnya beliau ketika berhadapan dengan Abu Jahal yang ingin mencari tahu tentang keberadaan ayahnya Abu Bakr RA dan Rasulullah SAW. Si kasar yang kejam itu tidak mampu menggoyahkan dirinya walaupun digertak dan ditampar kerana keengganan Asma’ menceritakan tentang ayahnya.

Kisah Ummu Salamah

Bagaimana pula dengan pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh Ummu Salamah RA ketika beliau dipisahkan dari suami dan anaknya saat ingin bertolak melaksanakan hijrah? Ummu Salamah dan suaminya Abu Salamah sebelumnya telah menyertai hijrah beberapa golongan sahabat ke Habsyah. Apabila mendapat perintah hijrah kedua ke Madinah, mereka bergegas menyahut seruan ini. Walaubagaimanapun ketika di Abtah, keluarga Ummu Salamah merampasnya dari Abu salamah, manakala anaknya Salamah pula direbut oleh keluarga Abu Salamah. Abu Salamah terpaksa berhijrah berseorangan manakala Ummu Salamah terpaksa tinggal di Mekah kerana anaknya juga dirampas darinya. Selama setahun, wanita cekal ini berulang dari pagi hingga senja ke tempat mereka dipisahkan menangisi apa yang berlaku, merindui hijrah dan pertemuan bersama keluarga. Akhirnya, kecekalan Ummu Salamah menimbulkan rasa kasihan di kalangan keluarga Abu Salamah lalu anaknya, Salamah dipulangkan kepadanya.

Sebaik sahaja anaknya dipulangkan, Ummu Salamah RA tanpa tangguh dan teragak bergegas menuju ke Madinah. Allah SWT datangkan pertolongan melalui Uthman bin Talhah seorang pemuda berkarisma yang ketika itu masih belum menerima Islam. Uthman mengiringi Ummu Salamah dan anaknya sehingga tiba dengan selamat di Madinah. Pengorbanan Ummu Salamah untuk  berhijrah bukan sahaja melibatkan pengorbanan harta dan tenaga, malah pengorbanan perasaan yang tidak tertahan peritnya. Meskipun terpaksa ditinggalkan suami setahun lamanya, namun keazaman hijrah tidak pernah padam. Jasadnya di Mekah namun jiwanya terlebih dahulu telah sampai di Madinah. Keperitan Ummu Salamah akhirnya dibalas bukan sahaja dengan kemanisan pertemuan semula, malah setelah suaminya meninggal dunia akibat luka parah Peperangan Uhud, Allah mentakdirkan Ummu Salamah menjadi isteri kepada sebaik-baik manusia, Muhammad SAW.

Kesetiaan adalah suatu sifat istimewa wanita, dengannya seorang wanita bukan sahaja setia kepada pasangannya tetapi hijrah Ummu Salamah ini membuktikan kesetiaan seorang wanita dengan janji setia menyahut perintah Allah dan rasul-Nya.

Hijrah Wanita Hari Ini

Terlalu banyak kisah-kisah wanita hebat yang boleh dicontohi terutamanya dalam memperingati peristiwa terbesar dalam sejarah Islam ini. Wanita-wanita ini seharusnya memberi inspirasi kepada wanita hari ini bahawa wanita mampu memainkan peranan yang besar sesuai dengan ciri istimewa yang Allah fitrahkan kepada mereka. Hijrah wanita hari ini menuntut untuk merenung keistimewaan fitrah agar dapat dimanfaatkan kepada diri, keluarga, ummah dan agama. Sesungguhnya wanita Islam dipercayai untuk memelihara kepercayaan yang diberikan, berani dan sanggup berkorban demi agama dan negara serta cukup setia terhadap janji di jalan Allah SWT. Selain itu, wanita hari ini perlu berhijrah dari memesongkan fitrah yang ke arah maksiat kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT memuliakan wanita dengan hijrah yang dilakukan demi mengharapkan keredhaan-Nya.

Ustazah Kauthar Jamaluddin

ISMA Daerah Hulu Langat

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian