Karnival Bola Jaring dan Kesihatan Wanita Isma didik peserta menutup aurat
Oleh Hazwani Liana Abbas
KUANTAN, 1 Nov. – Seruan untuk menutup aurat semasa bersukan amat disokong oleh para peserta dan mereka berasa selesa dengan pakaian lengkap seperti yang disyariatkan oleh Islam kepada wanita muslimah.
Jurulatih Bola Jaring, Rohani Yusof yang juga dikenali sebagai ‘Coach Adeq’ berkata, Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mempunyai konsep tersendiri iaitu semua peserta perlu terampil secara muslimah ketika perlawanan bola jaring berlangsung.
“Jadi, apabila pemain hadir dengan imej seperti syarat yang telah ditetapkan iaitu bertudung dan menutup aurat, hati saya menjadi gembira, kerana sambil bermain kita dapat mengutip pahala.
“Saya berharap bahawa inilah titik permulaan hijrah untuk bertudung dan menutup aurat secara lebih baik dan berterusan kepada para peserta yang mungkin kurang menitikberatkan penjagaan aurat sebelum ini di samping dapat menyihatkan badan serta bersilaturrahim sesama peserta yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan remaja dan belia.
“Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kerana pendekatan daripada badan bukan kerajaan (NGO) seperti Isma ini dalam menganjurkan perlawanan sebegini yang sangat kurang ketika ini di Kuantan,” katanya yang juga merupakan pengadil perlawanan bersama dua pengadil yang lain.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan di Karnival Bola Jaring dan Kesihatan 2018 anjuran Wanita Isma Kuantan di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Wanita Isma Kuantan, Ustazah Norhayati Ahmad Salleh dalam ucapan pembukaannya berkata, melalui penganjuran karnival ini, Isma ingin mengajak para peserta untuk merasa tinggi dengan syariat Islam dan mengembalikan jati diri Melayu yang sering dipandang remeh oleh bangsanya sendiri sejak akhir-akhir ini.
Beliau juga menyeru kepada semua peserta agar turut bersama Wanita Isma dalam mencapai hasrat yang murni ini selain mengajak mereka untuk menghadiri aktiviti-aktiviti yang ditawarkan seperti Usrah Wanita mingguan dan Seminar Fiqh Wanita yang dianjurkan setiap tahun.
Salah seorang peserta dari kumpulan ‘Together’, Farah Wahidah Ahmad, berkata, setiap wanita memerlukan kumpulan seperti ini untuk beraktiviti, kerana ia tidak mungkin dapat dilakukan jika berseorangan dan peluang untuk menyertai program sebegini perlu digarap walaupun hanya sekadar mengeluarkan peluh.Karnival yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) ini dimeriahkan lagi dengan aktiviti pameran, pemeriksaan kesihatan kendalian pasukan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) cawangan Kuantan serta jualan makanan.
Karnival yang telah mengumpulkan 12 kumpulan penyertaan yang terdiri daripada 10 pemain termasuk pengurus kumpulan ini juga terpaksa ditutup penyertaan di awal hebahan lagi kerana mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari kalangan peserta di sekitar daerah Kuantan.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan