Kembangkan potensi remaja mengikut acuan Islam – KRIM Kuantan

Oleh Norfadilah Hilmi

KUANTAN, 28 Nov. – Setiap remaja ada potensi untuk dikembangkan kerana mereka inilah generasi pemimpin masa depan yang perlu dibentuk mengikut acuan Islam.

Setiausaha Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Kuantan, Rosazura Jasmi berkata, jiwa seorang remaja pada zaman moden ini perlu diraikan tetapi mestilah mengikut acuan Islam seperti hiburan, sukan dan sebagainya.

“Dalam Islam ada hiburan yang dibenarkan tetapi ia janganlah sampai melalaikan dan perlu memberi kesan positif kepada jiwa remaja seperti lagu berkonsepkan ketuhanan dan kerohanian.

“Melalui aktiviti sukan pula, kita boleh didik mereka supaya bersukan dengan menutup aurat secara sempurna dengan tidak memakai seluar pendek bagi pelajar lelaki untuk permainan bola sebagai contoh,” jelas beliau ketika ditemui di program Kem Ibadah anjuran Sekolah Menengah Sungai Isap Murni (SEMURNI) di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Dr. Mohamad Aiman Mohd Radzman, salah seorang fasilitator semasa sesi ceramahnya berkata, setiap pelajar muslim perlu mengambil tahu tentang darah haid dan cara-cara mandi wajib, termasuklah pelajar lelaki kerana satu hari nanti mereka akan menjadi pembimbing terhadap isteri dan anak-anak mereka apabila sudah berkeluarga nanti.

Melalui slot ceramah itu juga beliau turut menunjukkan cara-cara mengambil wudhu’ dengan sempurna serta mengajar bacaan doa selepas wudhu’ di hadapan para peserta yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 4 SEMURNI.

Dalam pada itu, fasilitator program, Abu Dzar Mohd Anuar mengajak para pelajar untuk sentiasa menunaikan solat di awal waktu melalui ceramahnya bertajuk Kewajipan Solat.

“Solat yang sempurna dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara maksiat dan mungkar yang ditegah oleh Allah,” terang beliau yang juga merupakan pelajar Asasi Jurusan Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kampus Kuantan.

Untuk tahun ini, KRIM Kuantan menerima jemputan sebagai fasilitator dari SEMURNI bagi menyantuni pelajar untuk mendalami ilmu ibadah sempena Kem Ibadah anjuran sekolah tersebut di Kem Desa Cempaka Beach Resort, Kuantan.

Sepanjang kem tersebut berlangsung, para pelajar telah didedahkan mengenai bab thoharah, termasuklah berkaitan mandi wajib dan wudhu’, kewajiban solat, serta teori dan amali solat.

Ustazah Rohana Yaakob, selaku Setiausaha Kem Ibadah SEMURNI ketika ditemui berharap dapat mengadakan kerjasama lagi bersama KRIM Kuantan pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada semua fasilitator yang telah menjayakan program sekolah kami di atas segala perkongsian ilmu dan kerjasama yang telah diberikan,” ucap beliau.

Rata-rata pelajar juga memberi maklumbalas positif sepanjang program berlangsung.

Saudari Wahyu, Ketua Pelajar Tingkatan 4, berkata perkongsian video tentang kisah tentera Al-Fateh semasa slot kewajiban solat benar-benar menaikkan semangat mereka untuk menjaga solat dengan lebih baik selepas ini.

Manakala, saudari Auni, pelajar Tingkatan 2 pula berasa gembira kerana dapat membaiki bacaan surah Al-Fatihah semasa slot amali solat.

Kem Ibadah ini telah disertai oleh 92 pelajar dan diiringi oleh 9 guru SEMURNI serta 8 fasilitator dari KRIM Kuantan.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?