Kem Celik Al-Mulk Lahirkan Bakal Generasi Huffaz
KOTA BHARU, 28 Nov – 60 peserta sekitar Kota Bharu, Kelantan bertuah kerana berpeluang mengikuti Kem Celik Al-Mulk selama dua hari yang diadakan di Masjid Mukim Lundang Kota Bharu. Kem hafazan ini bertujuan untuk membantu para peserta menguasai pembacaan dan penghafazan surah al-Quran khususnya surah al-Mulk dengan lebih berkesan.
Menurut pengarah Kem Celik Al-Mulk, Puan Normah Abu Samah, kaedah yang diperkenalkan adalah bersesuaian dengan keperluan pembelajaran murid-murid seperti teknik gundalan, mendengar dan menulis serta gabungan kesemua teknik tersebut. Mereka telah dibimbing oleh fasilitator-fasilitator yang dilantik oleh pihak Nazim Kota Bharu bagi menyemak dan membetulkan bacaan secara berkumpulan. Fasilitator-fasilitator yang terdiri daripada pelajar tahfiz dan pelajar universiti ini turut memberi motivasi dan semangat kepada para peserta untuk menghafaz al-Quran.
Walaupun program tersebut dirancang dalam waktu yang singkat, ia tetap mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan pelajar-pelajar sekolah (lelaki dan perempuan) berumur antara 6 hingga 15 tahun dan dengan penglibatan 18 orang fasilitator. Sebilangan peserta adalah terdiri daripada pelajar dari Masjid Mukim Lundang sendiri, ahli kelab NAZIM Kota Bharu dan juga beberapa peserta dari luar Kota Bharu.
Menariknya sesi khas bermula sebaik sahaja selesai urusan pendaftaran diri iaitu sesi penetapan minda.
Sesi ini penting bagi memurnikan niat para peserta untuk membudayakan gaya hidup sebagai seorang huffaz sepanjang hayat, bukan sekadar sepanjang perjalanan kem sahaja.
Pelbagai aktiviti yang telah dijalankan termasuklah slot penerangan berkenaan kelebihan menghafaz surah al-Mulk yang disampaikan oleh Ustazah Rafiah Ramli. Selain itu, para peserta tidak melepaskan peluang untuk berkenalan sesama mereka dalam sesi suai kenal dan solat berjemaah di masjid bersama-sama.
Seramai 6 peserta telah berjaya menghabiskan hafazan surah al-Mulk dan 3 peserta terbaik telah dipilih. Mereka adalah, adik Wan Nur Fatma binti Wan Mohd Zulkefli, Muhd Akmal Husaini bin Abdul Ghani dan Adi Shah Putra bin Che Din. Diharap, pencapaian yang cemerlang ini menjadi pemangkin usaha kita dalam membudayakan hafazan quran di kalangan anak-anak.
Kem ini hanya mengenakan yuran RM30 seorang dan kem menyediakan makanan, minuman dan juga sijil penyertaan.
Suhidayah
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan