KEM HUFFAZ CILIK DAPAT SAMBUTAN DALAM KALANGAN IBU BAPA

KUANG, 26 November 2018 – Kem Huffaz Cilik anjuran Kelab Anak-anak Hebat (NAZIM) cawangan Kuala Lumpur telah berlangsung dengan jayanya selama tiga hari bermula dari 24 November 2018 dan berakhir pada 26 November 2018, berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya yang kebiasaannya berlangsung tidak lebih dari dua hari. Penganjuran kali ini amat istimewa kerana NAZIM KL telah mendapat sepenuh sokongan dan bantuan daripada pihak pengurusan Masjid Al-Islahiah, Kuang yang juga menjadi lokasi kem ini dijalankan.

“Kami, pihak masjid amat berbesar hati kerana NAZIM KL sudi menjalankan aktviti yang bermanfaat buat anak-anak dan kami amat mengalu-alukan program-program seperti ini dapat dijalankan selalu tambahan lagi pada cuti sekolah,” ujar Nazir Masjid Al-Islahiah, Tuan Haji Supandi bin Samin.

Penyertaan tahun ini amat memberangsangkan apabila pihak penganjur berjaya mencapai sasaran penyertaan iaitu seramai 70 orang anak-anak berusia 7 hingga 12 tahun. Rata-rata peserta yang hadir tinggal di sekitar Kuang, Damansara dan Pantai Dalam. Seramai 17 orang remaja lelaki dan perempuan telah ditugaskan sebagai fasilitator sepanjang kem untuk membimbing para peserta menghafaz surah-surah dalam Juz ‘Amma dengan lancar di samping memperbetul bacaan agar lebih tepat dari segi sebutan dan tajwid.

“Saya suka datang kem ini sebab ianya best. Saya dapat hafaz Al-Quran, banyak ilmu saya dapat, kawan pun ramai. Saya harap dapat hafaz Al-Quran supaya dapat tarik ibu dan ayah serta adik-beradik saya ke syurga”, luah salah seorang peserta kem, Muhammad Hilman bin Suhaimi

Selain menghafaz Al-Quran, terdapat beberapa slot santai yang dijalankan antaranya perkongsian menarik “Cinta Al-Quran” oleh Ustazah Abiidah binti Fadzlan Shahidi yang merupakan seorang timbalan mudir di Sri Al-Imtiyaz, Cyberjaya.

Para peserta turut berpeluang mengendalikan eksperimen secara berkumpulan menerusi slot “Saintis Muda” di bawah kendalian Cikgu Farhana Zawani binti Mohd Lazim, seorang guru sains. Selain itu, perkongsian ilmiah “Doktor Cilik” telah disampaikan oleh seorang pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh, Dr. Nor Adibah binti Mohd Kusni yang menerangkan kepada para peserta tentang peri pentingnya menjaga maruah dan keselamatan diri serta pengurusan kehidupan seharian dari sudut kebersihan.

Pihak penganjur merakamkan setingi-tinggi penghargaan kepada semua pihak dan individu yang terlibat dalam kem kali ini. Tidak lupa kepada para ibu bapa atas kepercayaan dan sokongan padu yang diberikan dengan menghantar anak-anak untuk menyertai kem. Semoga penyertaan anak-anak ke kem ini dapat menjadi titik tolak dan perangsang buat mereka bagi menghafaz Al-Quran sepanjang masa. Semoga anak-anak sentiasa bersemangat untuk mencintai Al-Quran dan terus berdoa agar mereka berjaya menjadi Al-Hafiz dan Hafizah suatu hari nanti.

Wannor Hanisah binti M Tajudin
NAZIM Kuala Lumpur

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian