Nazim Ipoh Anjur Program Huffaz Cilik Bersama Masjid Solatiah
Oleh Nor Liyana Mohamad Rosly
IPOH, 2 Disember – Sebuah program cuti sekolah anjuran Kelab Anak-anak Hebat Ikatan Muslimin Malaysia (Nazim) bersama Masjid Solatiah telah diadakan pada 24 hingga 27 November yang lalu bertempat di masjid tersebut.
Program yang diberi nama Huffaz Cilik itu telah disertai oleh anak-anak daripada umur lima ke 12 tahun.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan sepanjang program tersebut adalah seperti eksplorasi Al-Quran, kuiz, memanah, slot doktor cilik, dan pertandingan I-Star hafazan.
“Saya sangat berterima kasih kepada pihak Nazim dan masjid kerana telah menganjurkan program Huffaz Cilik ini. Saya dapati hafalan anak saya bertambah baik, dan dia pun seronok beraktiviti bersama kawan-kawan sepanjang program ini berlangsung” ujar Nur Sakinah Ismail, ibu kepada ‘Aaliyah, 5 tahun, salah seorang peserta program ini.
Turut hadir sewaktu majlis penutup program tersebut adalah pengerusi Masjid Solatiah, Dato’ Yaacob Nordin.
Beliau dalam ucapannya berkata “Pihak masjid amat berbesar hati dengan penganjuran program ini dan diharapkan agar kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang”.
“Selain program kepada pelajar sekolah rendah, mungkin kita boleh adakan juga program yang sebegini untuk para remaja pula” tambah beliau lagi.
Program yang dijalankan selama empat hari itu merupakan program tahunan cuti sekolah anjuran Nazim Ipoh khusus buat anak-anak yang berumur 12 tahun ke bawah, dan telah dijalankan sejak beberapa tahun yang lalu lagi.
Program Huffaz Cilik pada tahun ini juga merupakan kali kedua ia dianjurkan dengan kerjasama Masjid Solatiah.
Para peserta Huffaz Cilik bergambar kenangan bersama ibu bapa, AJK Nazim Ipoh dan pihak Masjid Solatiah
Adik Muhammad Hanzalah As-syahid bin Mohammad Hariz, 6 tahun, pemenang pertandingan I-Star Hafazan Tahap 1
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan