Isma Kuantan sasar terus dekati masyarakat
KUANTAN, 14 Feb. – “Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang merupakan sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana ini perlu lebih dikenali di kalangan masyarakat dan memerlukan kita untuk duduk bersama dan mendekati mereka, bukannya bersikap seperti orang asing. Itu yang perlu kita amal dan praktikkan.
“Mana-mana kelemahan gerak kerja kita sama-sama atasinya untuk penambahbaikan agar dapat bergerak sejauh mungkin.
“Kita tidak seharusnya rasa takut dengan tanggungjawab yang diberikan serta halangan-halangan yang ada kerana ia adalah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT kepada kita.
“Terima kasih kepada semua yang memberikan kepercayaan kepada saya, dan ini bukan bermakna saya yang terbaik tetapi kita sebagai satu pasukan akan dinilai sebagai satu kekuatan organisasi jemaah,” katanya.
Demikian menurut Ustaz Norman Mohd Nor selaku Yang Dipertua (YDP) Isma Cawangan Kuantan yang baharu bagi sesi 2019-2021 ketika menyampaikan ucapan penangguhan AGM Isma Cawangan Kuantan 2019-2021 di Auditorium Utama, Kuliyyah Farmasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, umat Islam ketika ini terdedah dengan pelbagai cabaran, maka pemimpin yang dipilih perlu bergerak secara kuat dan tidak boleh lemah supaya kepimpinan ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
Melalui pemilihan yang diadakan Ustaz Norman telah mendapat jumlah undian tertinggi mengatasi dua calon yang lain dan seterusnya menang serta dilantik sebagai YDP Isma Kuantan yang baharu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan