Hampir 2000 jemaah Masjid Sultan Ahmad Shah 1 sokong Kempen Malaysia Negara Islam

Oleh Shuhaimi Shaedon

Kuantan, 13 Mac – Naib Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Kuantan merangkap Pengarah Operasi Kempen Malaysia Negara Islam (MNI), Tuan Haji Zaizul Azizi Zaman berkata, sebanyak hampir 2000 tandatangan telah diperoleh melalui dua kempen MNI yang dijalankan di Masjid Sultan Ahmad Shah 1 setakat ini.

“Kempen MNI tersebut mendapat sokongan yang sangat baik daripada segenap lapisan masyarakat dengan menandatangani petisyen kempen sebelum dan selepas solat Jumaat dilakukan.

“Rata-rata umat Islam yang ditemui merasakan bahawa perlunya usaha untuk mempertegaskan semula hakikat Malaysia adalah negara Islam dan menambahbaik amalan Islam tersebut dalam segenap aspek kenegaraaan,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Harapan beliau semoga kempen ini akan terus mendapat sambutan di kalangan masyarakat di Kuantan dan sekitarnya bagi menunjukkan sokongan yang padu terhadap kempen yang dijalankan.

Sementara itu, melalui slot tazkirah sebelum solat Jumaat yang disampaikan oleh Ketua Biro Dakwah Isma Kuantan, Ustaz Muhamad Sabri Muda menegaskan bahawa sebarang usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sekular ataupun liberal demokratik perlu ditolak sama sekali.

“Hal ini kerana ia adalah bertentangan dengan hakikat sejarah pengamalan Islam yang sudah bertapak lama di tanah air ini.

“Status Malaysia sebagai negara Islam juga mesti terus dipegang dan diperjuangkan oleh umat Islam agar ia kekal menjadi tanah yang berdaulat bagi umat Islam,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan fakta dan hujah yang dilihat dari pendapat ulama tentang negara Islam serta struktur negara Malaysia dan sejarahnya yang panjang, Malaysia sememangnya layak disebut sebagai negara Islam.

Jelasnya juga, sejarah menyaksikan bahawa Islam telah sebati dengan penduduk tanah Melayu ini sejak sekian lamanya dari segi cara hidup, budaya termasuk undang-undang yang sedia ada.

“Di zaman pasca kemerdekaan juga kita melihat struktur negara dan juga perlembagaan dibentuk dengan peruntukan-peruntukan yang menunjukkan Islam sebagai identiti negara ini,” ujar beliau sebelum mengakhiri tazkirah.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?