Usrah Wanita: Berburu Amal Soleh di Bulan Sya’ban
Port Dickson, 7 April – “Bulan Sya’ban adalah pintu untuk memasuki Ramadan. Kita sepatutnya telah mula menggandakan amalan soleh yang kita tanam di bulan Rejab agar mudah untuk kita tuai di bulan Ramadan nanti. Anggaplah Ramadan tahun ini adalah yang terakhir supaya kita sentiasa mempersiapkan diri dengan amalan sebaiknya. Berdoalah supaya Allah memberkati kita di bulan Sya’ban dan dipanjangkan umur sampai kepada Ramadan,” Jelas ustazah Hayati Mohd Zari selaku aktivitis Isma Nilai dalam program Usrah Wanita di Taman Intan Perdana Port Dickson baru-baru ini.
Menurut Ustazah Hayati, banyak kelebihan bulan Sya’ban yang sepatutnya dapat memberi motivasi kepada kita untuk memburu amal soleh di bulan ini. Antaranya adalah Allah telah memilih 15 Sya’ban atau dikenali sebagai nesfu Sya’ban sebagai hari untuk diangkat segala amalan kita. Beruntunglah bagi mereka yang diangkat amalannya berada dalam keadaan yang baik dan terpelihara dari sebarang kejahatan.
Selain itu, beliau turut menerangkan bahawa Allah menurunkan ayat supaya berselawat ke atas Nabi saw dalam bulan sya’ban iaitu ayat ke 56 dalam surah al-Ahzab yang bermaksud “Sesungguhnya Allah dan Malaikatnya berselawat kepada Nabi (Muhammad saw): Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” Apabila kita berselawat, ada Malaikat yg bertugas untuk terus sampaikan kepada Nabi saw.
“Jika di bulan Rejab, ada peristiwa isra’ mikraj iaitu perjalanan Nabi saw dari masjidil aqsa ke masjidilharam. Di bulan Sya’ban pula, Allah telah perkenankan doa Rasulullah yang mengharapkan qiblat umat islam bertukar dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram setelah hampir 18 bulan Rasulullah mengharapkan penukaran tersebut,” tambah ustazah Hayati lagi.
Ustazah hayati turut menceritakan bahawa para sahabat Rasulullah banyak bersedekah dan membayar zakat pada bulan Sya’ban agar golongan fakir miskin dapat bergembira dalam menyambut Ramadan.
Usrah wanita diakhiri dengan pesanan beliau agar kita sebagai muslim, perlu sentiasa berlumba-lumba membuat amal soleh dan kebajikan pada bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadan kerana ketiga-tiga bulan ini penuh dengan kebaikan dan keberkatan.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan