Ramadhan dan Al-Quran: Bagaimanakah kita di 11 bulan seterusnya?

Ramadhan dan Al-Quran begitu sinonim dan akrab sehingga Ramadhan turut digelar شهر القرآن atau bulan Al-Quran.  Hubungan yg rapat antara keduanya bersesuaian dengan firman Allah s.w.t:

“Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Al-Baqarah: 185)

Allah telah memuliakan Ramadhan, selain dengan kefardhuan berpuasa sebulan padanya, juga dengan diturunkan Al-Quran yang merupakan kitab petunjuk padanya.

Sekalipun ibadah membaca Al-Quran tidak difardhukan seperti solat, puasa, zakat dan haji, namun ibadah seperti solat tidak dapat disempurnakan tanpa bacaan Al-Quran. Malah terdapat begitu banyak kelebihan bagi mereka yang membaca Al-Quran yang dapat difahami melalui hadis-hadis Nabi S.A.W., antaranya:

1) Al-Quran sebagai syafaat di akhirat kelak.

Daripada Abu Umamah r.a melaporkan, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”.  (Hadith riwayat Muslim)

2) Orang yang belajar dan mengajar Al-Quran adalah antara yang terbaik.

Daripada Uthman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W bersabda: “Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”. (Hadith Bukhari)

3) Dua pahala bagi orang yang susah menyebut dan membaca Al-Quran.

Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W.: “Orang yang membaca Al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”. (Hadith riwayat Bukhari)

4) Membaca Al-Quran sebagai sumber ketenangan.

Daripada Barra’ bin ‘Azib r.a. telah melaporkan: “Seorang lelaki membaca Surah Al-Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad S.A.W dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda: Itulah (sakinah) ketenangan yang turun disebabkan bacaan Al-Quran”. (Sahih Bukhari)

5) Membaca dan memperelokkan bacaan mendapat kebaikan.

Daripada Abdullah Bin ‘Amru Bin Al-‘As r.a. Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca Al-Quran: Bacalah, perbaikilah dan perelokkanlah bacaan Al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”. (Hadith riwayat Abu Daud)

6) Setiap satu huruf yang diungkapkan ketika membaca Al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata: “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”. (Hadith riwayat Tirmizi)

Hadith-hadith di atas dan yang lainnya menggambarkan ganjaran besar bagi mereka yang membaca Al-Quran dan mendampinginya.  Tidak hairanlah generasi Sahabat radiyallahhu anhum menjadi generasi yang cemerlang dan hebat kerana mereka mendampingi Al-Quran dan berinteraksi dengannya dalam kehidupan harian mereka, sehingga mereka digelar جيل القرآن الفريد (generasi Al-Quran yang unggul).

Hadirnya Ramadhan bersama tawaran- tawaran hebat yang disediakan Allah dalam bulan ini, dari terbukanya pintu-pintu syurga, tertutupnya pintu-pintu neraka, pengampunan dosa dan gandaan pahala menjadikan bulan ini umpama pesta ibadah. Hati-hati yang jauh dari Al-Quran kembali berjinak-jinak dengan Al-Quran. Masjid dan surau kembali meriah dengan bacaan Al-Quran dan majlis-majlis tadarus Al-Quran dan tadabbur maknanya. Malah, majlis-majlis tadarus Al-Quran ini turut hidup dan subur di sekolah-sekolah, pejabat, institusi dan kawasan kejiranan. Suasana yang baik ini diharapkan berterusan, bukan hanya di bulan Ramadhan namun juga pada sebelas bulan lain kerana Ramadhan sebenarnya adalah bulan tarbiyyah, bulan untuk memperbaiki dan mentarbiyyah jiwa agar ia kekal sejahtera pada bulan-bulan lainnya. Semangat berlumba-lumba membuat kebaikan dan mengerjakan ibadah pada bulan ini seharusnya terus kekal pada bulan-bulan lain. Bulan yang barakah ini seharusnya menjadi momentum untuk kembali menanam perasaan cinta Al-Quran pada jiwa kita dan anak-anak. Antara langkah praktikal yang boleh diusahakan oleh ibubapa dan pendidik ialah:

1) Mewujudkan halaqah Al-Quran di rumah untuk memperbaiki  bacaan serta mentadabbur makna yang terkandung dalam  ayat suci Al-Quran.

2) Menceritakan kisah-kisah dari Al-Quran melalui sebab nuzul ayat.

3) Memasang audio Al-Quran di rumah atau kenderaan.

4) Membuat kuiz ringkas berkaitan Al-Quran dan menyediakan hadiah bagi yang dapat menjawabnya.

5) Meletakkan target untuk membaca atau menghafal ayat-ayat Al-Quran dan menyediakan hadiah bagi yang proaktif mencapainya.

Semoga Allah menjadikan Al-Quran kembali subur di hati-hati kita, peneman dikala sunyi dan penghibur dikala duka.

Ramadhan Kareem

Ustazah Mardhiyyah Zamani

Timbalan Ketua Wanita Isma Kuantan

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian