Wanita Isma seru hidupkan 10 Ramadan terakhir dengan Al-Quran

KUANTAN, 1 Jun – Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Kuantan, Ustazah Norhayati Ahmad Salleh berkata, umat Islam sepatutnya berasa sangat bersyukur kerana diberi kesempatan oleh Allah untuk berada di dalam bulan Ramadan, dan menghidupkan amalan terutama di 10 malam terakhir Ramadan ini.

“Dalam suasana yang sangat kritikal ini, kita juga diseru supaya menggunakan sebaiknya masa yang ada untuk memperbanyakkan amalan serta menjalani ibadah puasa padabulan ini dengan memperbanyakkan bacaan ayat suci Al-Quran.

“Al-Quran dan bulan Ramadan ini tidak boleh dipisahkan. Bulan Ramadan merupakan bulan Al-Quran kerana ia diturunkan dalam bulan Ramadan, dan ia juga yang memberi petunjuk kepada seluruh umat manusia di dunia ini,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan di Majlis Tadarus & Khatam Al-Quran di anjuran Wanita Isma Kuantan di Surau Ar-Ridhuan, Permatang Badak di sini baru-baru ini.

Oleh sebab itu juga, tambah beliau, Wanita Isma Kuantan mengadakan Majlis Tadarus Al-quran beramai-ramai di beberapa lokasi terpilih di Daerah Kuantan ini bagi menyeru golongan wanita khususnya dalam menyemai semangat cintakan Al-Quran.

Sementara itu, di lokasi program yang seterusnya iaitu Masjid Salahuddin Indera Mahkota 14, aktivis Wanita Isma, Ustazah Nafisah Abd Rahim, turut mengingatkan para peserta akan kesedaran hadirnya 10 Ramadan yang terakhir ini.

“Bagaimana kita menyambut 10 malam terakhir Ramadan? Apakah strategi yang kita telah rancang untuk mengejar pengampunan Allah? Rugi dan celakalah seseorang hamba itu jika kita tidak mendapat pengampunan Allah di dalam bulan Ramadan.

“Ayat ‘Imanan wah tisaban’ adalah daya penolak untuk kita bangun berqiamullail pada malam hari walaupun pada siang harinya dipenuhi dengan kesibukan dan kepenatan urusan keduniaan,” jelasnya di hadapan para peserta ketika sesi tadabbur Surah Al-Qadr sejurus selesai majlis Khatam Al-Quran.

Salah seorang peserta tadarus, Nor Hayati Nasir, guru Sekolah Kebangsaan Permatang Badak, Kuantan ketika ditemui berkata, beliau sangat menyokong program sebegini kerana dapat mempelajari cara pembacaan Al-quran yang betul selain dapat menambah kenalan baru.

Program Tadarus dan Khatam Al-quran yang dijalankan serentak diseluruh Daerah Kuantan ini berjaya mengumpulkan kira-kira 300 peserta termasuk beberapa lokasi seperti Surau Ar-Raudhah Indera Mahkota 13 dan Surau Al-Muttaqin Indera Mahkota 14.

Secara keseluruhannya, lebih 7,000 peserta dari seluruh Malaysia yang telah terlibat di dalam program ini dan ianya dijalankan serentak oleh Wanita Isma di seluruh negara.

Menurut Ketua Wanita Isma Pusat, Ustazah Suriani Sudi yang dipetik dari berita ismaweb.net berkata, majlis yang telah mendapat sambutan yang sangat baik di kalangan golongan wanita dari seluruh Malaysia ini bakal menjadi program tahunan dengan mensasarkan 20,000 peserta pada masa akan datang.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian