Peperangan antara Selangor dan Belanda

Selangor ialah antara negeri di Tanah Melayu yang mempunyai hasil bumi bijih timah yang melimpah-ruah selain Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang sejak kurun ke-14 lagi.

Berdasarkan catatan sejarah, beberapa tempat di negeri Selangor seperti Klang, Jeram dan Bernam telah menjadi wilayah naungan Empayar Kesultanan Melayu Melaka sebelum Selangor menjadi sebuah negeri dan mempunyai sistem kesultanan sendiri. Antara tokoh yang pernah menjadi pemimpin wilayah ialah Tun Perak (sebelum menjadi Bendahara Melaka) sebagai Penghulu Klang dan Paduka Mamat iaitu putera Sultan Mansur Shah Melaka sebagai Penghulu Jeram.

Selepas kejatuhan Empayar Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511, pemerintahan tempat-tempat ini beralih kepada Kesultanan Melayu Johor – Riau yang ditubuhkan oleh Sultan Mahmud Melaka.

Melaka kemudian jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641.

Sekitar tahun 1717 pula, perebutan takhta Kesultanan Melayu Johor – Riau mula berlaku antara pemerintah sedia ada dari golongan Bendahara berketurunan Bugis dengan Raja Kecil yang dikatakan keturunan sebenar Sultan Mahmud Melaka yang terakhir.

PENGASASAN KESULTANAN MELAYU SELANGOR

Sekitar tahun 1730-an, Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor berketurunan Bugis bersama orang-orangnya diutus dari Riau bagi mengusir Daeng Mateko, sekutu Raja Siak yang membuat kekacauan di Kuala Selangor. Kejayaan Daeng Chelak menyebabkan penduduk tempatan berkenan mengangkat beliau sebagai pemerintah di situ. Daeng Chelak menolak pelawaan tersebut tetapi melantik puteranya, Daeng Lumu sebagai pemerintah Kuala Selangor.

Daeng Lumu kemudian menjadi Tuanku Raja Selangor dan dikenali sebagai Raja Lumu tetapi hanya berkuasa ibarat Penghulu Kuala Selangor kerana wilayah-wilayah di Selangor masih merupakan jajahan Johor – Riau.

Pada tahun 1756, Sultan Johor – Riau, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah mengadakan perjanjian dengan Belanda di Melaka bagi memberikan hak bijih timah di kawasan Kuala Selangor, Klang dan Linggi. Perjanjian ini dimeterai sebagai membalas budi Belanda membantu baginda menewaskan Raja Alam di Siak.

Pemerintah-pemerintah Kuala Selangor, Klang dan Linggi termasuk Raja Lumu tidak mengiktiraf perjanjian yang telah dimeterai. Berikutan itu, Raja Lumu mengadakan pertemuan dengan Sultan Perak, Sultan Mahmud di Kota Lumut pada tahun 1766. Sultan Mahmud berkenan menabalkan Raja Lumu sebagai Sultan Selangor yang pertama dengan gelaran Sultan Sallehuddin dan menganugerahkan nobat dan cap mohor diraja. Wilayah-wilayah seperti Kuala Selangor Klang, Jeram, Langat dan Bernam disatukan bawah Kesultanan Melayu Selangor dan Kuala Selangor dijadikan ibu negeri.

Sultan Sallehuddin mangkat pada tahun 1778 dan digantikan oleh putera baginda, Raja Ibrahim dengan gelaran Sultan Ibrahim.

USAHA PEMBEBASAN MELAKA

Pada tahun 1784, Sultan Ibrahim memberikan bantuan kepada Empayar Johor – Riau dalam usaha menawan semula Melaka daripada penguasaan Belanda. Askar-askar Selangor bersama-sama orang-orang Rembau menyerang Tengkera manakala askar-askar pimpinan Raja Haji menyerang Bukit Cina. Raja Haji merupakan bapa saudara kepada Sultan Ibrahim Selangor.

Serangan bertubi-tubi menyebabkan tentera Belanda terkepung dan hampir-hampir tewas. Namun, bantuan ketenteraan Belanda dengan kekuatan 6 buah kapal besar dan 326 pucuk Meriam dari Betawi (atau Batavia) yang diketuai Pieter Van Braam mula memberikan petunjuk kemenangan kepada Belanda di Melaka.

BELANDA MEMBALAS DENDAM

Tentera Belanda di bawah pimpinan Pieter Van Braam mula menggempur kubu Raja Haji bersama para pahlawan Bugis, askar-askar Selangor dan orang-orang Rembau di Teluk Ketapang. Dalam petempuran ini, pahlawan-pahlawan Bugis iaitu Arong Lenga, Daeng Salikang dan Raja Ahmad termasuklah Raja Haji syahid pada 18 Jun 1784.

Pada tanggal 13 Julai 1784, Pieter Van Braam memulakan serangan ke atas Kota Melawati di Kuala Selangor sebagai balasan tindakan Selangor membantu kesultanan Johor – Riau menyerang Melaka sebelum ini.

Kemenangan Belanda turut didorong faktor bantuan daripada Terengganu yang terpaksa akur melalui perjanjian Terengganu – Belanda pada tahun 1766. Kedah yang juga mempunyai hubungan perjanjian dengan Belanda walau bagaimanapun tidak membantu kerana sedang diancam Siam.

Selain itu, Belanda juga dibantu oleh Raja Muhammad Ali dari Siak yang sekian lama bermusuhan dengan orang-orang Bugis.

Berikutan kekalahan Selangor, Sultan Ibrahim berundur dan mendapatkan perlindungan ke Pahang. Belanda mengubah suai Kota Melawati menjadi kubu pertahanan Belanda dan melantik Raja Muhammad Ali sebagai Raja Selangor.

Sultan Ibrahim melakukan usaha bagi mendapatkan semula Selangor dan berjaya mendapatkan bantuan ketenteraan daripada Bendahara Abdul Majid dari Pahang. Pada 27 Jun 1785, Belanda mengalami kekalahan dan Kota Kuala Selangor kembali ke tangan Sultan Ibrahim.

Belanda tidak berputus asa dan kembali mengepung Kota Melawati. Pengepungan berlaku selama kira-kira setahun menyebabkan rakyat Selangor menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan makanan.

Akhirnya Sultan Ibrahim terpaksa menandatangani perjanjian perdamaian dengan Belanda pada 29 Jun 1786 dengan syarat-syarat: i) Selangor mesti menjual hasil timah kepada Belanda; ii) Sultan Ibrahim mengakui kuasa Belanda; dan iii) Belanda mengiktiraf Sultan Ibrahim sebagai pemerintah Selangor.

BRITISH MENCARI TAPAK

Pada tahun 1786 juga, British mula mencari tapak di Tanah Melayu dan berjaya mendapatkan Pulau Pinang melalui Perjanjian British – Kedah oleh Francis Light. Hal ini membimbangkan Belanda. Berikutan itu, Gabenor Belanda di Melaka, Timmerman Thyssen telah menghantar Pesuruhjayanya, John Hendrik Stecker, ke Kuala Selangor untuk memperbaharui perjanjian damai tersebut pada 29 Julai 1790.

Akhirnya, Perjanjian British – Belanda ditandatangani pada tahun 1824 di mana wilayah penjajahan British merangkumi keseluruhan Tanah Melayu manakala Sumatera dan Jawa dikuasai Belanda.

KESIMPULAN

Berdasarkan naratif yang disusun berdasarkan fakta-fakta sejarah sedia ada, minat Belanda terhadap wilayah-wilayah di Selangor asalnya ialah bagi memonopoli perdagangan bijih timah yang merupakan komoditi utama yang diperlukan oleh negara-negara Eropah pada masa itu.

Walaupun permusuhan Belanda terhadap Selangor hanya tercetus apabila Selangor memberi bantuan ketenteraan kepada Empayar Johor – Riau dalam usaha penaklukan Kota Melaka yang sedang dikuasai Belanda, keadaan ini diambil kesempatan oleh Belanda untuk mendapatkan monopoli bijih timah di Selangor yang diidamkan sejak sekian lama.

Tindakan Sultan Ibrahim membantu Raja Haji bagi merampas semula Kota Melaka yang merupakan milik orang-orang Melayu pula wajar diangkat sebagai sumbangan terbesar negeri ini kepada perjuangan memerdekakan Tanah Melayu daripada penjajahan asing.

Oleh:
Fakhruddin Afif Fauzi
Pengarang / Jurnalis
ISMA Subang Jaya

Rujukan utama: Arkib Negara Malaysia

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian