Perkasa Institusi Raja Berperlembagaan, Pertahan Identiti Malaysia Negara Islam

Rakyat perlu sentiasa diingatkan bahawa kita mempunyai YDPA dan Majlis Raja-Raja yang menjadi penaung serta tulang belakang negara yang dapat mengawal tindak tanduk dan keputusan ahli -ahli Parlimen termasuk Perdana Menteri.

Ya, mereka bukan sekadar boneka atau ‘lambang’ semata tetapi punya kuasa yang telah digazetkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tinggal mahu laksana secara tegas atau terus dipandang enteng oleh rakyat jelata.

Undang-undang tertinggi negara telah menetapkan Yang DiPertuan Agong (YDPA) sebagai Ketua Utama Negara Persekutuan dan memegang kuasa eksekutif Persekutuan. Jelaslah bahawa para jemaah menteri dan individu di dalam badan utama kerajaan menjalankan tugas mereka untuk YDPA kerana mereka sendiri dilantik oleh YDPA.

Tanpa Agong, mana mungkin mereka berfungsi di dalam negara ini. Oleh itu, segala undang-undang atau polisi negara yang hendak diubah atau dicabar sepatutnya melalui budi bicara dan izin YDPA terlebih dahulu.

Lalu timbul satu soalan, bagaimana sistem Raja Berperlembagaan ini boleh dikritik dan dihentam sesuka hati sedangkan kuasa mereka cukup besar dalam mengawal suasana politik dan sosial negara?

Jawapannya mudah.

Kerana rakyat telah banyak dimomokkan dengan kata-kata palsu dari kelompok manusia yang mempunyai agenda tersendiri yang mengidamkan supaya Malaysia berubah landskap menjadi negara sekular tidak beragama.

Ingatlah bahawa Identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam terserlah melalui identiti Raja-Raja nya. Sedari awal keluarga diraja terdiri dari golongan bangsa Melayu yang menganut agama Islam dan melaksanakan undang-undang Islam di negeri-negeri Tanah Melayu sebelum kedatangan British sehinggalah ke saat ini.

Mereka juga adalah Ketua Agama Islam yang bertanggungjawab memelihara kesucian pentadbiran Islam malah berkuasa menangkis segala fahaman asing lagi sesat di setiap negeri. Mereka ibarat benteng utama bagi umat Islam menikmati dan merasai keistimewaan berada di bawah taklukan pemerintah yang beriman kepada Allah swt dan Rasulullah saw.

Segala ancaman dan serangan bersifat perkauman yang disasarkan kepada YDPA atau mana-mana Sultan negeri adalah refleksi kepada penentangan penguasaan dan kesucian Islam di Malaysia. Konsep Ketuanan Melayu, Raja Berperlembagaan dan Islam Agama bagi Persekutuan amat berkait rapat kerana apabila hilangnya salah satu daripada itu, maka hancurlah identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Tuntas, apabila institusi Raja Berperlembagaan dilihat berkuasa dan diperkasa, maka identiti Malaysia sebagai negara Islam dapat dipertahan buat sekian lamanya.

Nur Farihah Meor Mazli
Pelajar Tahun Akhir Jurusan Undang-Undang
Aktivis Isma Shah Alam

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian