Sebuah teguran buat penggiat seni: Kita mencipta masyarakat

Jam menunjukkan pukul 7.00 malam ketika penulis berada di sebuah warung untuk menjamu selera. Mata ligat memandang keliling kawasan warung sambil menjeling ke arah televisyen yang sedang menayangkan drama jam 7. Seperti kebiasaan drama yang disiarkan mengupas kisah masalah rumah tangga sepasang suami isteri. Beberapa ketika menonton, adegan si isteri bergurau senda dengan suaminya, kemudian adegan mesra itu diteruskan dengan suaminya dalam keadaan tidak berpakaian menarik isteri ke dalam bilik mandi. Perasaan jengkel tidak dapat dibendung. Mengeluh panjang melihat adegan tidak senonoh itu. Drama Melayu semakin hari semakin berani memaparkan adegan begini. Melayu itu sinonim dengan agama Islam. Bagaimana mungkin adegan sebegini dibiarkan menjadi kebiasaan dalam kalangan pelakon. Ibarat sudah tiada sensitiviti lagi industri hiburan Malaysia ini sehingga adegan begitu dibenarkan sahaja siarannya.

Sungguhpun mahukan sebuah adegan yang kelihatan ‘real’ dan cukup memberi kesan, batasan agama tidak harus diketepikan. Islam itu penuh kesantunan, menjaga maruah manusia, kemesraan suami isteri juga disorokkan jika benar memang pasangan suami isteri, tiada istilah “public display of affection” (PDA) yang boleh ditayang-tayangkan, cukuplah antara suami dan isteri sahaja yang tahu. Sudah kerap kali adegan kemesraan di ranjang, di kamar gelap, dimainkan dalam drama-drama, dan filem-filem. Mestikah begini baru memberi kesan kepada masyarakat? Masyarakat jenis apakah yang sedang kita bina dengan siaran sebegini? Penulis melihat ini sebuah penyakit. Penyakit menghalalkan perkara haram bagi menjayakan sesuatu tanpa mengira batasan agama dan yang menontonnya. Seharusnya apabila audiens terdiri daripada orang Melayu juga, bukankah logik untuk mengecualikan adegan sebegini bagi menjaga sensitiviti agama semua pihak, penonton dan pelakon, atau tidak mengapa asalkan penonton terhibur? Maka apalagi beza drama Malaysia dengan drama bersiri Hollywood? Barangkali sudah sama, yang berbeza hanya plot.

Kesan yang kita hadapi adalah, masyarakat menjadi ‘desensitized’ pada perkara yang tidak menjaga batasan agama. Kisah cinta tak berkesudahan dalam drama-drama Melayu terus membuai lena penonton yang terdiri di kalangan wanita. Kita mahukan sebuah masyarakat yang cakna, yang realistik pada hakikat kehidupan, tapi kita menyuapkan mereka dengan hiburan jiwa yang palsu. Hakikatnya tiada istilah percintaan yang agung antara dua insan melebihi cinta pada Pencipta. Hakikatnya kisah cinta dan rumah tangga tidak seperti yang digambarkan dalam televisyen. Hidup ini penuh dengan tanggungjawab. Kita sebenarnya melenakan anak muda. Dan rancangan-rancangan televisyen ini bertanggungjawab terhadap mentaliti dan sikap yang lahir di generasi ini. Tangan-tangan ini yang bertanggungjawab membawa pemikiran perempuan-perempuan dan anak muda ke tahap rendah ini. Kesalilah perbuatan ini. Ia penyakit.

Masih lagi penulis ingat dalam bulan lepas sudah 2 kali perlu memberitahu pekerja di kedai makan untuk menukar siaran kerana rancangan drama yang disiarkan tidak sesuai ditayangkan. Kadangkala terdetik dalam hati adakah ini negara Barat. Normalisasi semakin meluas, seolah-seolah kita memang hidup begitu. Industri perfileman dan drama tanah air HARUS mengambil kira hal berkait dengan agama. Masih ada caranya jika mahukan impak dan kesan, tanpa mengorbankan batasan agama. Masih ada jalan untuk maju, dengan menjaga ketetapan syariah. Kita yang menciptanya, kita yang menjaga agama ini.

Sabrina Zaifulizan
Aktivis ISMA Johor

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian