Perpaduan Islam tonggak perpaduan rakyat Malaysia

Perpaduan nasional rakyat Malaysia merupakan isu malar segar yang sering menjadi masalah sejak pasca kemerdekaan lagi. Selepas ditinggalkan oleh penjajah British, Malaysia bukan sahaja didominasi daripada bangsa Melayu dan bumiputera selaku warganegara asal, tetapi terdiri daripada kaum-kaum lain seperti Cina, India, Sikh dan lain-lain yang diterima sebagai warganegara melalui prinsip Kontrak Sosial; Bangsa lain bebas untuk hidup dan mencari rezeki tetapi mesti mengakui bangsa Melayu dan bumiputera sebagai penduduk awal.

Walau bagaimanapun, perpaduan yang dijulang dahulu tidak bertahan lama apabila prinsip Kontrak Sosial mula diketepikan. Keistimewaan-keistimewaan Melayu mula dipertikai. Hak sama rata semua bangsa mula dituntut atas dasar keadilan bersama. Bukan itu sahaja, perkara-perkara pokok dalam Perlembagaan Persekutuan juga dipertikai. Yang Dipertuan Agong dihina secara bebas, status Islam sebagai agama persekutuan dinafikan, Bahasa Melayu dan tulisan Jawi turut dipandang enteng.

Keadaan ini menjadi parah bukan hanya disebabkan generasi masa kini yang tidak difahamkan dengan sejarah sebenar pembentukan Malaysia, tetapi juga oleh pimpinan-pimpinan Melayu yang gagal mengimani ajaran Islam yang sebenar, malah pemimpin-pemimpin cauvinis bukan Islam yang sentiasa mengapi-apikan api perkauman. Hal ini ditambah pula dengan keberadaan kita pada zaman media sosial masa yang tidak membataskan sebarang berita, fitnah dan propaganda.

Sebagai bangsa penduduk asal dan telah lama berasimilasi dengan agama Islam, terdapat 4 solusi yang wajar dipraktikkan khususnya orang-orang Melayu bagi menghakis isu perpaduan nasional yang semakin membarah ini berdasarkan paksi Islam.

  1. SENTIASA MENDAHULUKAN NERACA SYARAK

Masalah perpaduan rakyat Malaysia boleh diselesaikan bermula dengan perpaduan sesama orang-orang Melayu itu sendiri. Bangsa Melayu di Malaysia sekian lama telah berpecah akibat fahaman politik dan agenda organisasi yang menyeleweng daripada tuntutan agama. Bangsa Melayu sepatutnya mendalami konsep ta’awun berlandaskan syarak iaitu wajib bantu-membantu bukan sahaja dalam perkara-perkara kebaikan, tetapi juga untuk meraih ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan mengutamakan ganjaran akhirat berbanding habuan dunia atau kepentingan peribadi. Hal ini sesuai dengan hadis Rasulullah s.a.w.:

“Akan tiba masanya umat (manusia merujuk yahudi nasrani) yang ramai mengelilingi kalian seperti orang-orang yang mengerumuni (jamuan) hidangannya. Maka ada seseorang bertanya: Apakah kerana sedikitnya bilangan kami (kaum muslimin). Baginda menjawab: Bahkan ramai tetapi mereka (umat islam) pada masa itu ibarat buih-buih air (di lautan). Sungguh Allah mencabut rasa takut daripada dada musuh kamu dan menimpakan penyakit al-wahn. Seseorang bertanya: Apakah penyakit al-wahn itu ya rasulullah. Baginda menjawab: Cinta dunia dan takutkan mati.” (Hadis riwayat Ahmad)

Kempen utamakan produk buatan Muslim (‘Buy Muslim First’ atau BMF) yang kian mendapat sambutan pada masa kini ialah antara satu usaha kecil yang kena dengan konsep ta’awun di mana Islam bekerjasama meningkatkan ekonomi umat Islam dan secara tidak langsung akan meningkatkan kutipan zakat yang akhirnya menambah baik kehidupan golongan fakir dan miskin.

2. SIRAH DAN SEJARAH MENJADI RUJUKAN

Dalam sejarah teragung kehidupan Rasulullah s.a.w., baginda memulakan pembinaan negara Islam Madinah dengan menyatu-padukan orang-orang Islam di sana, iaitu antara suku Aus dan Khazraj yang membentuk Ansar dengan orang-orang Muhajirin dari Mekah. Orang-orang Islam inilah yang menjadi patriot utama kepada negara Madinah dengan menjulang Perlembagaan Madinah yang turut memayungi orang-orang bukan Islam di negara itu.

Orang-orang Islam Madinah juga merupakan tonggak kepada siri-siri peperangan daripada pihak luar seperti Perang Badar, Uhud dan Khandak serta pemberontakan dalaman yang mencetus perbalahan seperti kisah Yahudi mengganggu wanita Islam di pasar dan sebagainya atas dasar cintakan tanah air dan perpaduan berteraskan Islam.

Di negara kita, sebahagian besar perkara-perkara utama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan ialah demi menjaga kedaulatan Islam dan keistimewaan orang-orang Melayu yang akhirnya kembali kepada kedaulatan Islam dan perpaduan nasional. Di sinilah sepatutnya orang-orang Melayu selaku tonggak utama negara mengambil peranan, iaitu dengan menyebarkan kefahaman tentang perpaduan berteraskan Islam di samping menghalang segala bentuk usaha mengubah perlembagaan negara.

3. RAHMAT ISLAM YANG TULEN

Kerajaan Pakatan Harapan yang baharu setahun lebih dilihat cuba mengaplikasikan gagasan ‘Rahmatan Lil ‘Alamin’ sebagai jalan untuk mencapai perpaduan nasional. Hakikatnya, ‘Rahmatan Lil ‘Alamin’ yang dicanangkan sebenarnya cenderung kepada fahaman liberalisme dan jauh tersasar daripada kehendak syarak yang sebenar.

Antara contoh yang boleh dilihat ialah khutbah Arafah oleh YB Menteri Agama, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa tahun lalu yang menyifatkan perhimpunan umat Islam di Arafah hanyalah perhimpunan kemanusiaan, bukan perhimpunan akidah Islamiah.

Isu lantikan individu penghina institusi beraja, Wan Ji Wan Husain sebagai Duta Rahmah dan anggota parti DAP yang sememangnya anti-Islam, Sheikh Omar Ali sebagai Pemegang Amanah YADIM selain isu pandangan kerajaan terhadap isu LGBT boleh menggunakan tandas perempuan, ICERD dan Kempen BMF juga memperlihatkan Islam bukannya agama rahmah, tetapi agama yang kalah.

Sumber: FMT

Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah turut meragui gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin yang dipegang oleh kerajaan PH sehingga menegur mengenainya dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah baru-baru ini.

Dalil yang jelas berkaitan Rahmatan Lil’ Alamin ialah pada ayat ke 107 dalam Surah Al-Anbiya’,

“Tidaklah kami mengutuskan kamu wahai muhammad melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.”

Berdasarkan ayat di atas, jelaslah bahawa segala tindakan Rasulullah s.a.w. seperti dakwah berhikmah mahupun berterus-terang, mendirikan negara Madinah, bertegas dengan kafir, menyeru kepada jihad dan banyak lagi hanyalah untuk mendaulatkan agama Islam yang tercinta di muka bumi, bukannya untuk merendahkan Islam di bawah telunjuk kuffar seperti yang dilihat sedang berlaku sekarang.

4. QUDWAH, QIADAH DAN KEKUATAN

Penterjemahan Islam sebagai agama perpaduan sepatutnya diterjemahkan dengan melantik pemimpin-pemimpin negara dari kalangan orang-orang Islam yang boleh diteladani. Mereka mestilah mempunyai kefahaman agama Islam yang sempurna dan jelas, mempunyai agenda untuk mendaulatkan Islam, memahami perlembagaan Persekutuan dan memahami percaturan musuh-musuh Islam sama ada dari dalam mahupun luar negara selain giat meningkatkan ekonomi tanah air.

Kepimpinan dan pemerintahan boleh diterjemahkan seperti taharah untuk bersolat. Bila mana solat yang merupakan amalan yang wajib, taharah (seperti wuduk) juga wajib dilaksanakan supaya solat yang akan dilakukan menjadi sah dan diterima Allah. Begitu juga sebahagian besar perintah-perintah agama Islam termasuk mencapai perpaduan nasional tidak dapat ditunaikan dengan sempurna sekiranya pemerintahan secara Islam yang sempurna belum tertegak.

KESIMPULAN

Masalah perpaduan nasional yang semakin membarah di tanah air kita yang tercinta hanya boleh diselesaikan melalui kepimpinan Islam yang berlandaskan neraca syarak yang sebenar. Justeru itu, penyelesaian kepada isu ini mesti bermula melalui orang-orang Melayu Islam yang menjadi tonggak warganegara dengan mengutamakan tuntutan agama berbanding keperluan nafsu, menyelesaikan terlebih dahulu perpaduan sesama Melayu dan memilih kepimpinan yang mampu mendaulatkan Islam pada martabat yang sebenar.

Selain itu, gagasan ‘Rahmatan Lil’ Alamin’ yang dikatakan berteraskan ajaran Islam hendaklah dinilai semula kerana pengamalan gagasan tersebut bukan sahaja meletakkan Islam di tempat yang hina, malah seperti telah terseleweng daripada tuntutan syarak yang sebenar.

Oleh:
Ustaz Muhd Farhan Muhd Fadzil
Yang Dipertua
ISMA Subang Jaya

Ustaz Muhd Farhan juga merupakan Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS).

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian