ismakualaterengganu

Coretan hati : Antara amal dan ukhuwah

Antara kawanan burung yang terbang bersama, pasti sekali sekala berlaga juga. Mengharapkan cerah berpanjangan, rupanya hujan di teng...


Antara kawanan burung yang terbang bersama, pasti sekali sekala berlaga juga.
Mengharapkan cerah berpanjangan, rupanya hujan di tengah hari.

Begitulah ibaratnya perselisihan faham yang menjadi lumrah dalam kehidupan manusia. Dan ianya tidak terkecuali berlaku terhadap orang yang telah beriltizam dalam jalan tarbiyah. Tarbiyah yang pada awalnya dibasahi dengan nilai iman dan ukhuwah, lama kelamaan luntur sehingga tidak ada lagi tanya khabar, senda gurau dalam rutin usrah mingguan. Perbincangan hanya sekitar kerja dan tugasan dakwah yang menuntut keseriusan dan kesungguhan.. Manakala pantauan amal fardhi diremehkan sehingga jarang sekali pertemuan berbentuk berbuka puasa bersama, solat subuh bersama, baca quran dan sebagainya. Sedangkan inilah pertemuan yang menghidupkan semula hati dengan siraman iman setelah ia lama kering dengan mesyuarat dan program

Situasi inilah yang menjadi benih awal kepada terbentuknya virus ukhuwah. Virus sepertimana sifatnya akan merebak sehingga menjangkiti seluruh tubuh badan. Bermula dengan perasaan hati yang kecewa kerana merasa hak tarbiyah dirinya terabai, lalu akhirnya membuat keputusan untuk pergi membawa diri. Dan diceritakan pula masalah itu dan ini sebagai alasan bagi menutup perasaan sedihnya kerana tidak lagi menemukan suasana tarbiyah seperti dahulu. Lebih menyedikan, dibawa pula virus cerita cerita buruk bagi mempengaruhi ahli lain supaya memberi persepsi negatif terhadap pimpinannya.

Di sini kita melihat perlu adanya toleransi dan memahami peranan masing masing. Sebagai pimpinan kita tidak boleh mengabaikan hak tarbiyah individu. Perjalanan tarbiyah perlu seimbang antara keperluan ruhi dan keperluan amal. Kerana tidak sedikit orang yang berlalu pergi dari kita (lebih lebih lagi bagi orang yang baru mengenal tarbiyah) kerana merasa jiwanya kosong tidak diisi dengan nilai ruhi, sedangkan kita pula berapi api bercerita tentang perjuangan. Perlulah kita kembali kepada titik tolak dakwah itu sendiri yang bermula dengan tolakan iman yang akhirnya menyedari keperluan dirinya untuk berubah , menjadi mukmin sebenar dalam rangkaian 10 ciri peribadi mukmin sehingga dia layak memikul bebanan amal secara berterusan

Sebagai ahli pula, perlulah kita memahami hak pimpinan untuk ditaati dan dihormati. Penghormatan tersebut tidaklah menghalang untuk kita membuka ruang perbincangan bagi memberi cadangan cadangan kepada mereka berkenaan perkara yang dilihat berlaku kekurangan atau kelemahan. Begitu juga apabila kita sebagai ahli semakin dewasa dalam tarbiyah, pergantungan kita terhadap pimpinan seharusnya tidak lagi semanja dahulu kerana perlu difahami kadang kadang mereka tidak sempat melihat secara details keperluan kita oleh kerana kesibukan masing masing dalam urusan keluarga, dakwah dan kerjaya.

Tidak jarang fenomena keretakan ukhuwah yang berlaku adalah kerana kita terlalu menginginkan perhatian orang lain terhadap masalah kita sehingga masalah yang bersifat terlalu peribadi pun kita harapkan orang lain memahaminya. Apabila tidak diendahkan maka kita merasakan orang lain telah mengabaikan kita. Sedangkan kita sendiri mungkin tidak pernah ada keinginan untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh orang lain yang membuatkan perhatian mereka terhadap kita berkurangan. Kadang kala masalah mereka lebih berat (anak sakit, belenggu kewangan, masalah hubungan keluarga, dan sebagainya) dan bebanan dakwah mereka lebih besar . Tetapi tidak pula kita menemui mereka bermasam muka setiap kali kita menyapa mereka. Jadi dimanakah letaknya had batasan ukhuwah kita ? adakah setinggi tinggi itsar (mendahulukan keperluan saudara lain) atau serendah rendah berlapang dada ?

Marilah kita sama sama fikirkan dan bermuhasabah

Sekian, coretan dari hati agar sampai ke hati

Related

ARTIKEL 1066383042839627862

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item