Penyelewengan Istilah Maqasid Syariah: Ustaz Mohd Hazizi

maqasid
Oleh Ustaz Haji Mohd Hazizi Ab Rahman

1) Maqasid Syarak Asliah (tonggak, paksi dan utama) ialah untuk menjaga agama, nyawa, akal, nasab dan harta yang dikenali sebagai Lima Dharuriyat. Tiada khilaf ulama pada urutan keutamaan agama dan nyawa.

2) Lima Dharuriyat ini adalah hasil analisis terhadap keseluruhan al-Quran dan Sunnah. Segala maslahat dan maqasid yang lain, seperti keadilan dan kebebasan, kembali kepada paksi Lima Dharuriyat ini. Dalam erti kata lain, tiada keadilan dan kebebasan hakiki jika Lima Dharuriyat itu, terutamanya agama, tidak diutamakan dan disia-siakan.

3) Menegakkan negara Islam dan menjaganya, adalah Maqasid Tabi’ah ( مقاصد تابعة ) kepada Maqasid Asliah menjaga agama. Menegakkan negara Islam dan menjaganya adalah tugas pemerintah, yang diungkap oleh para ulama sebagai ‘Hifzuddin’. Imam Ghazali berkata yang maksudnya, “Ketahuilah bahawa syariat itu asas dan pemerintahan itu penjaga. Sesuatu yang tiada asas maka ia runtuh, sesuatu yang tiada penjaga maka ia hilang”.

4) Oleh itu, maqasid para politikus muslim dan badan-badan Islam yang memainkan peranan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam percaturan politik negara, ialah menegakkan negara Islam dan menjaganya.

5) Untuk menegakkan negara Islam dan menjaganya, umat Islam perlu bersatu dan bersepakat mempertahankan saki baki hak keistimewaan Islam dan orang Melayu di negara ini, serta melawan aliran yang menyanggah hak keistimewaan itu yang dibawa oleh parti dan badan-badan sivil yang terang-terang menolak konsep ketuanan syarak.

6) Oleh itu, seruan dan tindakan ke arah kesatuan dan kesepakatan sesama muslim adalah satu lagi Maqasid Tabi’ah kepada Maqasid Asliah, berdasarkan konsep ( ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب ).

7) Sudah pasti, tindakan bersekutu dengan parti yang terang-terangan menolak konsep ketuanan syarak adalah bercanggah dengan dua Maqasid Tabi’ah di atas. Bahkan tindakan itu sebenarnya meruntuhkan Maqasid, bukan membinanya.

8) Hakikatnya, tindakan bersepakat dan bersatu sesama muslim dan menjauhi persekutuan dengan pihak-pihak yang menentang ketuanan syarak adalah sabit melalui puluhan nas qatie ayat al-Quran yang jelas lagi terang. Ayat-ayat tentang Wala’ dan Bara’ ini sebenarnya untuk mencapai Maqasid Tabi’ah (kesepakatan, kekuatan kesatuan, kesetiaan sesama muslim) dan Maqasid Asliah sekaligus. Terlalu banyak peristiwa dalam sejarah, apabila persepakatan dengan orang-orang kafir untuk menjatuhkan rakan muslim mengakibatkan bencana politik dan maruah ke atas negara Islam.

9) Apabila puluhan nas qatie ayat al-Quran dan Maqasid yang dibawa oleh nas-nas itu ditinggalkan dan didiamkan, bagaimana boleh dibincangkan lagi tentang Maqasid? Jelaslah, yang dibincangkan bukan Maqasid, tetapi helah politik yang tidak syarie yang mahu disalutkan dengan istilah syarak.

10) Maqasid Syarak adalah hasil istiqra’ (analisis induktif) terhadap keseluruhan al-Quran dan Sunnah. Jika mahu bercakap dan bersandar pada satu atau dua ayat al-Quran sahaja, janganlah guna perkataan Maqasid. Lebih membimbangkan, ia bukan sekadar salah guna perkataan, malah sudah jadi menerima sebahagian al-Quran dan menolak sebahagian yang lain. Wal iyazubillah.

11) Paling mengerikan, untuk menjayakan helah politik ini, puluhan nas qatie ayat al-Quran tersebut didiamkan. Surah al-Baqarah, ayat 159 bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk”.

Ustaz Hazizi adalah Ahli Jawatankuasa Pusat Isma.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?