Ada apa dengan Perlembagaan Malaysia?

Oleh: Ainun Mardhiah Jamaluddin, Tahun 6 Fakulti Perubatan, Universiti Tanta


30 juta.

Ya, inilah angka jumlah penduduk Malaysia kini. Namun, masih belum menyamai jumlah penduduk di ibu negara Matahari Terbit, Tokyo yang berpopulasi kira-kira 36 juta orang. Lalu berdasarkan perbezaan angka yang ketara ini, apakah yang mendorong negara kecil seperti Malaysia untuk mempunyai perlembagaannya sendiri?

Perlembagaan secara mudah didefinisikan sebagai peraturan dan undang-undang yang menentukan organisasi kerajaan dan menentukan pengagihan kuasa sesebuah negara atau masyarakat politiknya. Landskap Malaysia yang diwarnai dengan masyarakat pelbagai kaum menuntut negara ini untuk mewujudkan satu sistem bagi menjaga keharmonian keluarga besar ini seterusnya menjamin keamanan tanah air bertuah ini. Unsur kestabilan ini terserlah apabila kita meneliti isi kandungan Perlembagaan Malaysia satu persatu.

Perlembagaan Malaysia juga dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Malaysia merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang dibentuk berasaskan kepada dua dokumen sebelumnya iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957. Perlembagaan Malaysia telah digubal berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian dalam tahun 1956. Perlembagaan berkenaan berkuat kuasa sejurus selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Perlembagaan ini dibahagikan kepada 15 Bahagian yang mengandungi 131 Perkara menyentuh pelbagai aspek pemerintahan iaitu:

Bahagian 1: Negeri-Negeri, Agama dan Undang-Undang Bagi Persekutuan
Bahagian 2: Kebebasan Asasi
Bahagian 3: Kewarganegaraan
Bahagian 4: Persekutuan
Bahagian 5: Negeri-Negeri
Bahagian 6: Peruntukan Kewangan
Bahagian 7: Pilihan Raya
Bahagian 8: Badan Kehakiman
Bahagian 9: Perkhidmatan Awam
Bahagian 10: Kuasa Khas Menentang Kuasa Subversif dan Darurat
Bahagian 11: Am dan Pelbagai
Bahagian 12: Perlindungan Tambahan bagi Negeri Sabah dan Serawak
Bahagian 13: Peruntukan Sementara dan Peralihan
Bahagian 14: Perkecualian Bagi Kedaulatan Raja-Raja dan Sebagainya
Bahagian 15: Prosiding Terhadap Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja

Walaupun perlembagaan boleh dipinda untuk kepentingan rakyat dan negara, tetapi terdapat beberapa perkara yang tidak boleh dipersoalkan seperti yang termaktub dalam Akta Hasutan 1948:

  • Agama Islam sebagai agama rasmi dan agama bagi Persekutuan.
  • Kedudukan istimewa Raja-raja Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
  • Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
  • Soal berkaitan kerakyatan.

Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera Malaysia. Artikel ini secara terperinci memberitahu bagaimana kerajaan persekutuan mempertahankan kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia biasa dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial.

Walaubagaimanapun, perkara yang dianggap menguntungkan orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia diimbangi dengan peruntukan lain yang juga memberi hak kepada kaum bukan Bumiputera. Misalnya, perkara yang menetapkan Islam sebagai agama persekutuan diimbangi dengan peruntukan kebebasan bagi rakyat bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama lain dalam suasana aman dan harmoni.

Unsur keseimbangan dalam integrasi nasional ini dapat dilihat dengan lebih jelas dalam jadual berikut:

Konsep perlembagaan di Malaysia menetapkan bahawa kuasa tertinggi terletak pada Perlembagaan Persekutuan. Ini berbeza dengan Britain yang memperuntukkan Parlimen sebagai kuasa tertinggi negara. Parlimen di Malaysia hanya membuat dan menggubal undang-undang mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan.

Mahkamah diberi kuasa mengistiharkan undang-undang sebagai tidak sah jika undang-undang yang dibuat parlimen berada di luar bidang kuasanya. Kuasa kehakiman tertakluk kepada kehendak perlembagaan. Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara pula hanya melaksanakan tugas yang diperuntukkan perlembagaan. Perdana Menteri dan Jemaah Menteri juga melaksanakan tugas mengikut peruntukan perlembagaan.

Menarik lensa fokus pada teks perlembagaan yang menyebut bahawa Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Kita tertanya-tanya sejauh mana perenggan ini dapat menjamin kedaulatan Islam di Malaysia?

Islam adalah agama negara, bukan sekadar agama rasmi negara seperti yang difahami oleh ramai pihak. Bacaan Perlembagaan adalah berdasarkan Bahasa Inggeris yang jelas menyatakan ’Islam is THE religion of the Federation’. Dengan itu prinsip Islam mestilah menjadi dasar di dalam penggubalan dasar ekonomi, pendidikan, sosial, budaya dan lain-lain dasar. Segala tindakan sekular adalah bertentangan dengan agama negara.

Pentafsiran Majlis Peguam bahawa ’Malaysia sebagai negara demokrasi sekular dengan Islam sebagai agama rasmi ’ adalah tidak tepat. Hakikatnya istilah ’demokrasi’, ’sekular’ dan ’rasmi’ tidak disebut di dalam perlembagaan. Yang ada hanyalah istilah ’Islam’. Dengan itu kedudukan Islam di dalam Perlembagaan adalah berlainan dengan kedudukan agama-agama lain.

Jelaslah bahawa negara Malaysia merupakan negara Islam dan hanya layak dipimpin oleh orang Islam sendiri. Islam yang tertinggi, tiada yang tinggi selain Islam. Membina generasi harapan, generasi pemimpin negara akan datang.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian