Benarkah Islam akan tertegak hanya dengan dialog?


Adakah pertembungan ideologi antara Islam dengan jahiliyah mampu ditangani dengan dialog sahaja?

Adakah mereka benar-benar mahu berdialog dan sekiranya hujjah mereka salah mereka akan menerima dengan hati yang terbuka?

Jika dengan dialog sahaja sudah mampu selesaikan semua masalah, maka sudah pasti dengan dialog kita sudah mampu menundukkan Israel dan US untuk tidak meneruskan pembantaian terhadap umat Islam di seluruh dunia.

Sudah pasti juga para anbiya’ dan sahabat tidak perlu menunjukkan qudwah dalam mempersiapkan kekuatan untuk memerangi tentera-tentera dan berhala-berhala jahiliyah untuk ditundukkan dan dikalahkan.

Kadangkala kita menganggap segala permasalahan adalah pada kesalahfahaman yang berlaku, lalu kita cenderung untuk membetulkan kefahaman yang salah di kalangan penganut ideologi jahiliyah itu dengan cara dialog bersama mereka.

Apa yang berlaku dalam dialog nanti?

Si anak jati Muslim akan pertahankan akidahnya dan ideologinya, si anak jati liberalis akan pertahankan akidahnya, si komunis pula akan pertahankan akidahnya.

Lalu hadirlah moderator yang membawa kepada kesimpulan bahawa kita punyai pandangan masing-masing, maka hormatilah pandangan setiap pihak dan jangan ada mana-mana pihak memaksa pihak lain menerima pandangan sendiri.

Kemudian baliklah para hadirin yang menghadiri dialog itu, mereka terdiri daripada pemandu teksi, pelajar universiti, tukang masak, ustaz Mesir dan doktor pakar. Masing-masing membawa idea bahawa kita mesti hidup harmoni dan tidak perlu memaksa pandangan masing-masing kerana setiap kita adalah berbeza.

Akhirnya mereka akan hidup harmoni dan aman dalam sebuah negara yang penuh keharmonian dan penghormatan satu sama lain.

Tamatlah kisah dialog.

Namun di sisi lain (selain dialog), gagasan jahiliyah berbentuk arus liberalisme pluralisme sekularisme humanisme, mereka sedang memaksa ideologi-ideologi mereka yang menolak Tuhan ke dalam jiwa masyarakat.

Mereka ada selebriti yang selalu ditonton oleh masyarakat awam. Mereka punyai media yang selalu mempamerkan berita dan cukup tidak adil dalam menilai isu. Mereka ada bolasepak yang melalaikan. Mereka ada kuasa veto dalam PBB. Mereka ada bom nuklear yang boleh hancurkan Hiroshima dan Nagasaki. Mereka ada kempen berbagai-bagai perkara seperti membenarkan LGBT, kempen minum arak, kempen buat benda haram dan yang sewaktu dengannya.

Hakikatnya mereka sedang ‘memaksa’ umat ini untuk menerima cara hidup mereka, lalu luntur dengan perjuangan agama yang sepatutnya.

Adapun para pejuang dialog Islam yang lain, mereka sibuk membaca buku, membuat kajian dan mengumpulkan hujjah, hanya untuk mengisi jemputan dialog si pihak liberalis dan menjadi panelis, untuk mengisi beberapa jam penerangan yang diberikan kepada mereka, yang seolah-olah itulah dia dakwah para Nabi SAW dan sahabat RA sebenarnya.

Sedangkan pihak jahiliyyah berdakwah dan ‘memaksa’ orang lain selama 24 jam sehari, dalam segala bentuk. Pejuang dialog pula berjuang dalam medan yang dicipta itu, untuk membawa agenda keharmonian.

Alangkah sadisnya.

Adakah ia adalah pada dialog? Atau semata-mata pengalihan isu?

Tutup majlis.


Ustaz Ahmad Syamil Bin Mohd Esa
Ketua Biro Pembangunan Manusia (HRD) ISMA Mesir
MA Usul Fiqh Universiti Al-Azhar Kaherah

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian