‘High touch’ dalam mendidik anak
SEREMBAN, 15Dis – Amalan high touch iaitu amalan sentuhan fizikal dan sentuhan hati antara ibu bapa dan anak merupakan elemen penting yang perlu dititikberatkan dalam mendidik anak-anak zaman kini.
Menurut Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Rembau, Ustazah Nik Norsaha binti Nik Mohd, sentuhan oleh ibu bapa dapat melembutkan hati dan perasaan anak-anak selain membantu dalam pembinaan emosi dan spiritual.
“Perlu mempunyai semangat dan kesungguhan yang tinggi untuk mempraktikkan amalan ini. Seperti bersalaman selepas mengerjakan solat berjemaah, makan bersama, mengusap dan mencium dahi anak sebagai tanda penghargaan atas perbuatan baik yang dilakukan, sentiasa mengungkapkan kata-kata positif berupa nasihat, motivasi dan sebagainya,” katanya.
Jelas beliau, Islam menganjurkan umatnya untuk berkasih sayang sesama ahli keluarga dan waktu yang paling baik bagi ibu bapa dengan anak-anak adalah ketika selepas solat.
“Dengan keadaan anak-anak kita membesar dalam dunia high tech, perlu ada juga di situ high touch daripada ibubapa.
Selepas solat dan bersalaman, ibu bapa harus mengambil peluang berbicara dari hati ke hati. Insya-Allah anak-anak mudah untuk menerima nasihat pada ketika itu,” katanya ketika slot ‘Membina Generasi Cinta Al-Quran’ dalam program ‘Kem Huffaz Cilik’ baru-baru ini.
Selain itu, penerapan biah solehah (suasana baik) dalam keluarga perlu diambil kira, tidak hanya meletakkan sepenuh tanggungjawab di atas bahu tenaga pendidik di sekolah mahupun orang lain.
Sebaliknya ibu bapalah yang harus menghidupkan suasana tersebut terlebih dahulu di rumah, disamping melibatkan anak-anak mereka di dalam badan-badan dakwah dan tarbiyah seperti Kelab Nadi Al –Azim (Anak-anak Hebat) (NAZIM), Kelab Remaja ISMA (KRIM), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan sebagainya.
Selain itu juga, anak-anak perlu dibiasakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sejak kecil.
“Membiasakan anak-anak dengan budaya menghafal al-Quran juga amat penting kerana ini dapat menguatkan daya ingatan disamping dapat menanam rasa cintakan ilmu dan kebaikan, seterusnya membentuk hati anak-anak yang cintakan al-Quran,” ujarnya.
Kem Huffaz Cilik 2014 merupakan penganjuran kelima Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seremban dan Kelab Nazim Seremban. Program ini diadakan di Masjid At-Taqwa Paroi dengan jumlah penyertaan seramai 238 orang peserta.
Amrah Zamani
Wartawan ISMAweb
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan