ISMA Kuantan teruskan bantuan dan beri harapan kepada mangsa banjir


KUANTAN, 28 Dis – “Kami rasa bertanggungjawab memberi bantuan dan harapan pada mangsa banjir serta mengingatkan mereka bahawa bencana banjir bukan sekadar dilihat sebagai kesusahan dan kesedihan tetapi ia juga merupakan rahmat dan ada hikmah di sebalik setiap dugaan yang telah Allah berikan.

“Mereka juga diingatkan bahawa diluar sana masih ramai pihak yang peka dan prihatin dengan nasib mereka dan ingin membantu sebaik yang mungkin.”

Demikian menurut Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kuantan, Dr. Norzila Baharin ketika dihubungi berkenaan bantuan banjir kepada para penduduk di sekitar daerah Kuantan yang mengalami bencana banjir ketika ini.

Menurut beliau, bantuan banjir yang pertama sekali diberikan adalah kepada mangsa banjir yang ditempatkan di SK Sungai Talam, Kuantan.

Antara aktiviti yang dijalankan bersama mereka adalah aktiviti mewarna bagi kanak-kanak, indoor games bagi remaja, ceramah kesihatan dan kebersihan, serta gotong-royong memasak untuk mangsa banjir.

Tambah beliau, tujuan utama aktiviti-aktiviti tersebut adalah untuk memberi pengisian pada kanak-kanak, remaja dan orang dewasa agar mereka tidak bosan dan tertekan serta memberikan mereka kegembiraan agar dapat melupakan penderitaan yang sedang dihadapi.

Beliau yang juga merupakan Jawatankuasa I-Medik Kuantan juga melahirkan perasaan bangga kerana ahli wanita ISMA dan Briged Bakti PEMBINA dapat turut bersama-sama turun memberi bantuan kepada mangsa banjir pada ketika ini.

“Sambutan yang kami terima juga sangat positif, sehinggakan mendapat permintaan untuk pihak kami hadir ke tempat mereka pada setiap hari untuk memberikan pengisian dan motivasi di pusat penempatan tersebut.

“Harapan kami agar usaha membantu mangsa banjir ini dapat diteruskan pada setiap hari agar dapat meringankan bebanan mereka di samping memberi sinar harapan pada mereka yang ditimpa musibah bencana banjir ini,” ujar beliau lagi.


Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian