Kerana aku manusia biasa


Saya manusia, anda manusia. Seorang dai’e adalah manusia dan mad’u juga manusia. Persamaan kita adalah seorang manusia tetapi iman kita berbeza, ada naik ada turun.

Bukan sekali dua, tetapi berkali-kali kita akan merasa semangat yang berkobar-kobar melakukan satu per satu amalan kebaikan apatah lagi selepas mendengar ceramah dan pengisian. Walaubagaimanapun, tamat sahaja suatu tempoh, kita merasa lemah dan tidak lagi bersemangat. Dalam bahasa mudahnya adalah insaf sekejap.

Bertambah sedih lagi apabila kita cuba untuk bangkit tetapi gagal. Momentum tidak lagi sama seperti dahulu. Akhirnya, kita kecewa dan menangis.

Saya juga begitu, kerana sudah namanya seorang manusia. Oleh itu, sebelum kita berterusan melayan rasa kecewa, hiba, sedih, pedih, putus asa dan apa sahaja yang sewaktu dengannya, marilah kita jadikan kisah Hanzalah sebagai iktibar.

Kisah Hanzalah

Hadis riwayat Muslim, berkenaan dengan seorang sahabat Rasulullah yang bernama Hanzalah bin Ar Rabi’.

Beliau telah bertemu dengan Abu Bakar r.a lalu dia berkata, ‘Hanzalah telah munafik!’.

Abu Bakar terkejut lalu bertanya mengapa Hanzalah berkata begitu.

Lalu jawab Hanzalah, “

Ketika berada bersama Rasulullah s.a.w, Baginda selalu mengingatkan tentang syurga dan neraka seolah-olah aku melihatnya, lalu ketika aku keluar dari hadapan Rasulullah, aku disibukkan oleh isteri, anak-anak dan mencari nafkah, maka aku menjadi lupa peringatan Baginda!

Abu Bakar terdiam lalu dia berkata :

“Demi Allah, aku juga begitu”.

Lalu kedua sahabat itu sepakat mahu bertemu dengan Rasulullah untuk mengadu akan masalah ini.

Lalu Rasulullah bersabda,

“Demi dzat yang jiwaku di tangan-Nya, andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir niscaya para malaikat akan menjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya. Akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)”

Manusia Biasa

Sudah dibaca dan dihadam mengenai hadis di atas? Benar, kita manusia biasa, begitu juga para sahabat. Manusia biasa mempunyai iman yazid wa yanqus iaitu kadang naik, kadang turun. Oleh sebab itu, kita haruslah berusaha sedaya upaya untuk berubah, mencari jalan menguatkan kembali iman kita. Lebih istimewa dan hebat seorang manusia apabila dia mampu untuk bangkit sesudah jatuh.

Ya, untuk bangkit sesudah jatuh bukanlah perkara yang mudah, malah amat sukar. Ia penuh dengan dugaan. Tidak terkecuali juga dugaan hawa nafsu dan godaan syaitan untuk terus diam di takuk lama.

Perkara yang lebih sukar lagi apabila sesudah bangkit dan bertaubat, kita kembali melakukan dosa yang sama.  Tetapi, ini bukanlah satu alasan untuk kita menjadi jemu memohon keampunan daripada Allah.

Taubat Yang Berulang

Dalam sebuah hadis yang panjang, Rasulullah bercerita perihal betapa besar dan luasnya pintu keampunan Allah.

Ada seorang hamba, dia melakukan dosa, lalu dia bertaubat.

Tidak lama, dia melakukan dosa lagi, dan kembali bertaubat. Berulang-ulang kali.

Lalu, sampai bila Allah mahu mengampunkan? Jawabnya ialah sampai hambanya jemu untuk memohon ampun!

Ya, Allah sama sekali tidak jemu untuk memberi keampunan, tapi hanya manusialah yang jemu untuk bertaubat dan memohon ampun!

Mahu Kekal

Ada sesetengah daripada kita melabel tempoh jatuhnya iman ini sebagai satu tempoh yang sekejap. Ianya berbeza bagi setiap orang. Ada yang hanya beberapa jam, ada yang berhari-hari, ada yang berminggu, ada yang berbulan dan ada yang bertahun.

Sebagai dai’e dan manusia yang faham hakikat iman, berapa lama pun tempoh sekejap itu, kita harus berusaha untuk bangkit dan membantu insan lain untuk berdiri dan yakin bahawa Allah sentiasa membuka pintu taubat, dan ruang buat kita memperbaiki diri.

Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 39 yang bermaksud :

Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sungguh, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Setiap taubat harus diikuti dengan pembaikian diri atau amal soleh.

Sebagai contoh, kita insaf kerana terbaca satu artikel yang sangat menyentuh hati dalam keadaan kita masih belum melaksanakan solat, maka bersegeralah menunaikan solat dan berdoalah supaya Allah mengurniakan kita keinsafan yang berpanjangan.

Ya, kita harus banyak berdoa! Kerana sebaik-baik sandaran untuk hati kita sentiasa terjaga adalah Allah.

Wallahualam.


Nurul Syahiera Binti Ishamuddin
International Medical School-Bangalore
Tahun 4
Aktivis ISMA India Zon Tengah

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?