Lim Guan Eng bukan ketua agama Islam negeri Pulau Pinang


BANGI, 22 Dis – Kebiadaban Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang terus mempertahankan pendiriannya bahawa penganut agama lain boleh menggunakan kalimah Allah di negeri itu perlu ditangani secara seadil-adilnya mengikut semua peruntukan undang-undang yang ada.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin, Lim Guan Eng tidak pernah dilantik sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

Kenyataan sumbang Lim yang membenarkan golongan bukan Islam mencemar kesucian nama Allah dilihat sebagai satu perbuatan yang disengajakan dan melampaui batas sebagai Ketua Menteri.

“Dia seolah-olah dilihat cuba menceroboh dan menghina kuasa Yang Di Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam bagi Persekutuan dan juga bagi negeri Pulau Pinang.

“Sedangkan YDP Agong telah diwajibkan bersumpah oleh Perlembagaan Persekutuan untuk memelihara Agama Islam pada setiap masa.

“Maka perbuatan Lim Guan Eng itu adalah satu perbuatan sengaja untuk mencetuskan provokasi bagi menghina Yang Di Pertuan Agong dengan mencabar aspek tugasan utama baginda untuk mempertahankan Islam daripada serangan pihak luar,” ujar Ustaz Hafiz.

Minggu lalu, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan mengatakan bahawa Enakmen Agama Islam Negeri tidak boleh dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam.

Katanya, apa jua fatwa tidak boleh dikuatkuasakan ke atas penganut agama lain di negeri itu kerana ia hanya termaktub kepada umat Islam.

Tegas Ustaz Hafiz, dalam isu ini Lim Guan Eng mesti menghormati dan mentaati Warta Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menjalankan di bawah Sub Seksyen 48 (3) dan (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang dan setelah mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong, telah mengeluarkan Fatwa pengharaman 40 kalimah-kalimah yang berkaitan kesucian agama Islam.

“Salah satu daripada kalimah-kalimah yang telah diwartakan tersebut ialah kalimah Allah.

“Maka Lim Guan Eng mesti belajar menghormati undang-undang negeri sekalipun dia adalah Ketua Menteri,” katanya kepada wartawan.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?