LPT Gombak - Jabor ditutup pada kenderaan ringan
KUALA LUMPUR, 27 Dis - Kedua-dua arah Lebuhraya Pantai Timur yang menghubung Gombak dan Jabor ditutup pada kenderaan ringan berikutan keadaan banjir yang semakin buruk di Temerloh setelah paras air Sungai Pahang meningkat.
Pengendalinya, Anih Berhad berkata pengguna yang menghala ke timur ke arah Kuantan akan dilencong ke jalan biasa daripada tol Lanchang dan memasukinya semula di tol Maran, dan sebaliknya bagi pengguna yang menghala ke arah barat.
Namun ia berkata kenderaan berat dibenarkan melalui laluan yang ditutup itu.
Sementara itu di Jertih, Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Anggota Parlimen Besut berkata satu perancangan perlu dibuat bagi membina laluan air yang sesuai dengan pembinaan rangkaian laluan lebuh raya di negara ini.
“Kalau lebuh raya dibina bagi kenderaan dapat bergerak dengan lancar, maka laluan atau lebuh raya air juga perlu dibina supaya air dapat dialirkan dengan teratur dan tidak menyebabkan banjir di mana-mana," katanya.
Beliau berkata terdapat beberapa lokasi di LPT yang terjejas akibat limpahan air banjir kerana laluan air tidak disediakan dengan teratur. - Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan